27 June 2012

Perkuburan Baqi

Perkuburan Baqi ialah tanah perkuburan yang luas yang terletak bersebelahan dengan Masjid Nabawi. Dalam jadual kami, lepas melawat Raudhah, jemaah lelaki akan pergi ke tanah Perkuburan Baqi. Aku ingatkan kami kena naik bas. Rupa-rupanya jalan kaki sahaja. Selepas selesai sembahyang di Raudhah dan melawat makam Rasulullah s'a.w, kami berkumpul di satu kawasan di luar masjid. Setelah kumpulan kami agak ramai, kami pun dibawa oleh mutawif untuk pegi ke sebuah pintu di pagar Masjid Nabawi, dan terus masuk ke kawasan Perkuburan Baqi. Kat situ rupanya. Dekat aje. Pada asalnya dulu-dulu perkuburan Baqi ni terletak di luar Madinah. Namun zaman berganti zaman dan kawasan kubur tu menjadi semakin luas ke arah Madinah dan akhirnya sampai ke tepi Masjid Nabawi.

Semua kubur di sana adalah macam dalam gambar di atas dan di bawah. Tanah hampir rata dan kering kontang tanpa ada tumbuh-tumbuhan. Batu nesan ada satu sahaja, tak bertanda (tak ada tulisan atau catatan apa pun), dan berbagai ragam bentuk dia. Dulu memang ada tanda, tapi kemudian telah dimusnahkan tanda-tanda tu di atas arahan pemerintah Arab dan ulamak-ulamak Wahabi. Kalau batu nesan di Malaysia ni, sama je bentuk dia, atau bentuk tu memang kita kenal sangat. Tapi kalau diperhatikan dalam gambar-gambar ni, batu nesan dia bermacam-macam rupa. Ada yang macam batu, ada yang macam tunggul je. Jadi kalau aku ditakdirkan mati di Madinah dan ditanam di situ, anak-anak aku tak kan tahu yang mana satu kubur aku. Dan burung merpati memang banyak di situ. Sangat banyak.

Masa melawat tu mutawif tu ada cerita, ini kubur siapa itu kubur siapa. Ada jemaah yang bawa buku doa (yang diberi percuma oleh Andalusia), jadi sambil melawat, depa baca macam-macam doa ikut buku tu. Aku tak baca apa pun, sebab asyik dengar cerita mutawif tu. Tu bukan ustaz Shauki mutawif kami, tapi mutawif muda orang Indon. Slang Indon tak tinggal.

Guard dengan baju perang celorang-celoreng banyak berkawal di sana. Ada satu kawasan kubur tu ada pagar. Kata mutawif Indon tu, itu ialah kubur puteri Nabi Muhammad s'a.w tapi yang mana satu aku tak ingat. Asalnya tak berpagar, tapi lepas ramai orang pegi tawaf di kubur tu, maka kerajaan Arab Saudi arahkan pasang pagar di sekeliling kubur tu. Ni untuk mengelakkan amalan kurafat.

Foto atas ialah makam Saidina Uthman bin Affan, penyusun al-Quran, Khulafa ar-Rashidin ketiga, menantu Rasulullah s'a.w. Makamnya dikepung khas, dan tidak bercampur dengan kubur-kubur yang lain. Tapi terlalu simple. Batu nesannya tak bertanda, tiada sebarang tulisan, macam batu nesan yang lain. Berhampiran kubur Saidina Uthman bin Affan terdapat kubur Halimah as-Saadiah iaitu ibu susu Nabi Muhammad s'a.w.

Setakat yang ingat dari segi lokasi, apabila mula-mula masuk ke kawasan perkuburan ini, beberapa tapak ke hadapan dan di sebelah kanan terletak kubur puteri-puteri Nabi Muhammad s'a.w. iaitu Umi Kalthom, Ruqiyah (Roqayyah) dan Zainab. Kalau maju lagi beberapa tapak ke hadapan akan jumpa kubur kesemua sembilan isteri-isteri Nabi Muhammad s'a.w. Tapi kubur-kubur mereka digabungkan.

Kalau masuk ke tanah perkuburan dan belok ke kiri akan jumpa kubur makcik paling rapat Nabi Muhammad s'a.w iaitu Saidatina Safia. Jalan lagi ke hadapan akan jumpa kubur anak lelaki Nabi Muhammad s'a.w yang meninggal dunia masa kecil iaitu Ibrahim. Jemaah umrah akan mudah jumpa kubur ini kerana inilah kubur yang paling kecil di situ. Kubur lain yang ada di sana ialah kubur cucu Rasulullah s'a.w iaitu Saidina Hassan, bapa saudara baginda iaitu Abbas.

Aku ada terbaca yang mengatakan ada 10,000 orang sahabat Nabi Muhammad s'a.w di kawasan perkuburan Baqi ni. Selain dari isteri-isteri dan puteri dan putera Nabi Muhammad s'a.w, yang turut dikebumikan di perkuburan Baqi ini ini ialah Abbas bin Abdul Muttalib (bapa saudara Nabi), Jaafar as-Sidiq (sepupu Nabi), Abdul Rahman bin Auf, Saad bin Abi Waqqas, Fatimah binti Asad (ibu Sayyidina Ali), Saad bin Muaz, dan Abdullah bin Mas’ud.

Tanah Perkuburan Islam Paling Suci di Dunia

Tanah Perkuburan Baqi dianggap sebagai tanah perkuburan paling suci dalam dunia Islam kerana di sana disemadikan puteri-puteri Rasulullah s'a.w, isteri-isteri baginda (kecuali Khadijah), sahabat-sahabat baginda dan pahlawan-pahlawan Islam. Khadijah Al-Khuwalid dikebumikan di tanah perkuburan jannat al-Ma’ulla di Makkah.

Aku pernah jumpa satu hadis yang bermaksud lebih kurang pada hari akhirat nanti Nabi Muhammad s'a.w ialah orang yang pertama bangkit dari kubur, selepas tu Saidina Abu Bakar as-Siddiq, selepas tu Saidina Umar al-Khattab, selepas itu penghuni kubur Baqi. Jadi sangat beruntung kepada sesiapa yang ditanam di tanah perkuburan Baqi ni.

Foto atas: kaum wanita tidak dibenarkan memasuki kawasan perkuburan. Mereka hanya boleh melihat dari sebelah pagar masjid. Masa kami melawat kawasan perkuburan ni, kaum perempuan dalam jemaah kami ada program lain di Raudhah.

Foto atas: pandangan kawasan perkuburan Baqi dari atas. Kering, tandus, tanpa sebarang tumbuhan.

5 comments:

  1. saya rasa saad bin abi waqas dikebumikan di china

    ReplyDelete
    Replies
    1. Khilaf di situ ada kata di Ghuan Zhou China dan ada kata di Baqi'

      Delete
  2. saya amik info di sini... tq ye.. banyak detail yang bermanfaat...

    ReplyDelete
  3. informatif. Tapi tolong sebut orang Indonesia dengan lengkap. Bukan "mutawif Indon" tapi mutawif asal Indonesia. Kalian memang Malay, tapi kami bukan orang Indon melainkan Indonesia.

    ReplyDelete
    Replies
    1. bukankah Indonesia = Indon, Indon = Indonesia? :)

      Delete