25 June 2012

Kaabah yang gagah

Pada hari keenam, Selasa 5 Jun 2012, kami turun dari hotel dan masuk ke Masjidil Haram yang hebat dan bercahaya. Jam sudah pukul 12 malam lebih. Suasana sejuk dan nyaman. Kami masuk ke Masjidil Haram dan aku mengadap kaabah untuk kali pertama dalam sejarah hidupku. This is it. Inilah kiblat yang selama ini aku mengadap semasa solat. Sekarang kiblat itu betul-betul berada di depan mata.

Dengan bimbingan mutawif kami, kami tawaf keliling kaabah, disambung dengan saie, dan berakhir dengan bercukur untuk mencapai tahalul. Alhamdulillah selesai sudah umrahku yang best. Harap-harap umrah aku ini dan semua rombongan jemaah kami diterima ALlah SWT. Kami tak balik ke hotel sebab kami tunggu dalam masjid sehingga masuk waktu Subuh.

Kaabah

Kaabah ialah kiblat umat Islam seluruh dunia. Kaabah ialah teras kepada ibadat haji dan umrah. Bangunan yang berbentuk kubus berukuran 12 x 10 x 15 meter ini juga disebut dengan nama Baitullah dan Baitul Ateeq iaitu bermakna paling awal dan lama. Ia juga bermakna bebas dan merdeka. Kaabah dinamakan kaabah kerana bangunan kaabah bersegi empat. Dalam bahasa Arab, tiap-tiap bangunan yang bersegi empat dinamakan kaabah.

Rumah ibadat pertama di muka bumi

"Sesungguhnya permulaan rumah yang dibina manusia untuk tempat beribadah itulah rumah yang di Bakkah (Makkah) yang dilimpahi berkat dan petunjuk bagi alam semesta." (maksud ayat al-Quran Surah ALi Imran: 96).

Pembinaan sebanyak sebelas kali

Ada satu buku panduan ibadat haji yang dijual kepada peserta kursus haji menyebutkan yang kaabah dibina sebanyak 11 kali. Kali pertama ialah dibina kira-kira 2000 tahun sebelum Nabi Adam a.s dicipta oleh ALlah SWT. Nabi Adam a.s sendiri dikatakan pernah membina kaabah ini. Anak Nabi Adam a.s iaitu Nabi Seth juga pernah membina kaabah.

Pada zaman Nabi Nuh a.s apabila berlaku banjir besar, Allah telah mengangkat kaabah ke langit. Selepas itu Allah SWT memerintahkan agar Nabi Ibrahim a.s membinanya semula di kedudukan yang ada sekarang ini.

Pembinaan kelima ialah oleh suku Amalikah. Pembinaan keenam ialah oleh suku Jurhum. Pembinaan ketujuh ialah oleh Qusai bin Kilab (kabilah Quraysi). Pembinaan kelapan ialah pada zaman Nabi Muhammad s'a.w selepas berlaku banjir di Makkah. Namun pembinaan ini adalah di bahagian tertentu sahaja. Sejarah mencatatkan yang bahagian bucu kaabah yang menempatkan hajarul aswad itu telah runtuh dan bahagian tersebut telah dibina semula oleh empat kaum di Makah dengan bantuan Nabi Muhammad s'a.w. Pembinaan kesembilan ialah pada tahun 64H leh Abdullah bin Zubir berikutan sebahagian dinding kaabah rosak dan kain penutupnya terbakar akibat serangan tentera Yazid bin Muawiyah. Pembinaan semula kaabah kali kesepuluh ialah oleh Hajjaj bin Yusuf. Pembinaan semula yang terakhir ialah oleh Sultan Murad Khan Al_Othmani pada tahun 1040H.

Struktur kaabah

Bangunan kaabah berbentuk empat segi. Hajarul Aswad terletak di satu sudut kaabah pada kedudukan 4 kaki 10 inci tinggi dari lantai. Multazam terletak antara hajarul aswad dan pintu kaabah. Hijir Ismail (no. 5) ialah kawasan dalam tembok batu melengkung antara penjuru Iraq dengan penjuru Syami. Suatu ketika dahulu, seluruh kawasan Hijir Ismail itu adalah sebahagian dari kaabah. Sebab itulah kenapa semasa tawaf tidak boleh masuk ke kawasan Hijir Ismail ini (sebab tawaf mesti di luar kaabah). Pancur emas terletak di atas dinding bersebelahan Hijir Ismail. Makam Ibrahim (no. 7) terletak bertentangan dengan pintu kaabah pada jarak 30 kaki. Tinggi kaabah sekarang ialah 36 kaki.

  1. Hajarul Aswad
  2. Pintu Kaabah
  3. Pancur Emas
  4. Syazarwan (konkrit kaki kaabah)
  5. Hijir Ismail
  6. Multazam
  7. Maqam Nabi Ibrahim a.s.
  8. Rukun Hajarul Aswad
  9. Rukun Yamani (penjuru yang mengadap negara Yaman)
  10. Rukun Syami (penjuru yang mengadap negeri Syam)
  11. Rukun Iraqi (penjuru yang mengadap negara Iraq)
  12. Kiswah Kaabah
  13. Garis Mula Tawaf

Tiang Kaabah

Kaabah pun ada tiang. Tapi tiang-tiang tu kita tak boleh nampak. Tidak seperti tiang rumah orang Melayu yang terletak di bawah rumah, tiang-tiang kaabah pula berada di dalam kaabah (itu sebab kita tak boleh nampak) dan tujuan tiang-tiang kaabah ini ialah untuk menongkat atap kaabah. Semasa kaum Quraysi membina kaabah, mereka menutupnya dengan atap dengan disokong oleh enam batang tiang dalam dua baris. Namun semasa Ibnu Zubir membinanya semula, hanya tiga batang tiang sahaja digunakan untuk menongkat atap kaabah.

Aku dah tengok tiang kaabah tu dengan mata kepalaku sendiri. Haha.. tapi bukanlah aku masuk ke dalam kaabah untuk tengok tiang tu. Tiang kaabah yang aku tengok dengan mata kepala aku sendiri tu ialah tiang lama kaabah yang dipamerkan di Muzium Dua Masjid Suci. :)

Tengok kaabah pun dapat pahala

Masa ceramah di Madinah yang dianjurkan oleh pakej umrah Andalusia kami, penceramah tu ada bagi satu hadis..

Dari Ibnu Abbas Rasulullah bersabda: "Setiap hari turun ke rumah ini (kaabah) 120 rahmat. Sebanyak 60 bagi mereka yang mengerjakan tawaf, 40 bagi mereka yang mengerjakan solat, dan 20 bagi mereka yang melihat kaabah."

Kesimpulan: tengok kaabah saja pun dah dapat 20 rahmat yang diberi Allah swt. Mana nak dapat?

No comments:

Post a Comment