25 June 2012

Tentang Umrah

Ustaz Md Daud Che' Ngah dalam buku panduan umrahnya ada sebut bahawa dalam sepanjang hidup manusia beragama Islam tidak akan lengkap rukunnya jika tidak menunaikan ibadah haji dan umrah.

Al-Quran Surah al-Baqarah ayat 196 menyebutkan bahawa
"Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah."

Pengertian Umrah

Umrah ialah mengunjungi Baitullahil-Haram dalam keadaan beribadah dengan mengerjakan tawaf, saie, dan bergunting (bercukur) pada bila-bila masa sahaja asalkan tidak dalam ihram haji.

Waktu buat umrah

Umrah boleh dilakukan bila-bila masa sahaja dalam setahun kecuali jika seseorang itu sedang buat ibadat haji.

Hukum Mengerjakan Umrah

Pendapat jumhur ulamak mengatakan bahawa umrah itu wajib dilakukan seumur hidup sekali. Ada hadis yang menyebutkan yang umrah dalam bulan Ramadan menyamai pahala ibadah haji. Ada satu lagi hadis di mana Rasulullah s'a.w. bersabda yang haji dan umrah itu kedua-duanya fardhu, tidak mengapa mengerjakan yang mana dahulu.

Rukun Umrah

Rukun bermakna wajib buat. Kalau tak buat, tak sah ibadat tersebut. Rukun umrah ada lima dan lima-lima rukun ni wajib kena buat. Kalau tak buat salah satu rukun ni, maka umrah tu tak sah. Bak kata ustaz, hanya dapat exercise tapi tak dapat umrah. Kalau buat rukun tapi tak cukup syarat pun dikita tak sah umrah. Ini kerana, bila buat tak cukup syarat, maka tak sempurna rukun tu.

  1. Niat ihram umrah:
    Niat ihram umrah ini dilafazkan masa berada di miqat. Kena pakai ihram dulu sebelum berniat. Umrah aku dulu kami berniat di Bir Ali.

  2. Tawaf:
    Tawaf ialah mengelilingi kaabah mengikut arah lawan jam sebanyak tujuh kali. Kalau pusingannya kurang dari tujuh, maka tak dapat rukun tawaf tu, dah umrah jadi tak sah. Masa tawaf kena pakai ihram.

  3. Saie:
    Saie ialah berjalan ulang-alik sebanyak tujuh kali dari Safa ke Marwah. Bermula dari Safa pergi ke Marwah (1), patah balik ke Safa (2), pergi ke Marwah lagi (3), balik ke Safa semula (4), pergi balik ke Marwah (5), patah balik ke Safa (6), dan ke Marwah untuk kali terakhir (7). Bila cukup tujuh pusingan ni, selesailah saie tu.

  4. Bergunting atau bercukur:
    Bercukur rambut ni maksudnya potong rambut atau gunting rambut. Guna gunting saja. At least tiga helai rambut kena gunting. Gunting rambut ni dibuat di Marwah iaitu selepas selesai saie.

  5. Tertib:
    Tertib ni maksudnya rukun-rukun di atas tu kena dibuat ikut susunan, iaitu bermula dengan niat, lepas tu pergi tawaf, dah selesai tawaf pergi buat saie, dah habis saie terus bercukur. Selesai saja bercukur, maka jemaah umrah telah mencapai tahallul (sudah bebas dari pantang larang ihram yang 13 tu) dan umrahnya dianggap telah selesai.

Selesai umrah ni satu hal, sempurna umrah pulak satu hal yang lain. Walaupun umrah kita dah selesai,kita tak tahu umrah kita tu 'sempurna' atau tidak. Itu antara kita dengan Allah SWT sajalah.

Wajib Umrah

Wajib umrah ada dua. Wajib bermakna mesti buat. Kalau tak buat yang wajib ni, maka rukun umrah tak menjadi (tak sah). Bila rukun umrah tak sah, maka orang tu dikira tak buat umrah pun.

  1. Niat ihram di miqat
  2. Menjaga pantang larang ihram (yang 13 tu)

Sunat Umrah

Perkara-perkara sunat umrah ni tak buat tak apa, tak cacat pun umrah tu. Tapi kalau buat dapat pahala lebih.

Sunat-sunat sebelum ihram

  1. bersedekah sebelum pergi ke miqat
  2. kerat kuku
  3. andam (kemaskan) rambut, misai, janggut dan bulu ari-ari
  4. pakai ihram warna putih
  5. sembahyang sunah ihram (di hotel)

Sunat-sunat selepas pasang niat ihram

  1. baca talbiah selepas niat ihram sehingga start tawaf.
  2. berdoa di setiap lokasi umrah (ada doa tu dalam buku panduan umrah)
  3. kucup hajarul aswad atau kalau tak dapat, istilam (lambai-lambai tangan) sahaja pun mencukupi.
  4. sembahyang sunat di belakang makam Ibrahim selepas selesai tawaf tujuh kali.
  5. terus buat saie selepas tawaf.
  6. minum air zam-zam lepas selesai tawaf tujuh pusingan
  7. bercukur habis rambut tu selepas selesai saie.

13 larangan semasa ihram

13 larangan ihram ni bermula selepas berniat umrah di miqat. Semasa berniat umrah itu mesti telah siap memakai ihram. Selepas berniat, maka perlulah berjaga-jaga untuk tidak melakukan mana-mana dari 13 larangan ini.

  1. Pakai sarung tangan
  2. Pakai bau-bauan atau minyak wangi (di badan atau pakaian)
  3. Pakai minyak rambut, janggut atau semua bulu lain selain dari bulu di pipi dan dahi
  4. Cabut (tanggalkan) rambut atau apa-apa bulu lain di badan
  5. Kerat (atau potong) kuku
  6. Kerat, potong, cabut atau tebang pokok di Tanah Haram
  7. Buru (atau binasakan) binatang buruan (yang halal dimakan) di Tanah Haram
  8. Lakukan pendahuluan persetubuhan (bercumbu-cumbuan yang menaikkan nafsu syahwat)
  9. Jimak (bersetubuh)
  10. Berkahwin, mengahwinkan atau menerima wakil kahwin

    Tambahan untuk lelaki sahaja

  11. Pakai pakaian bersarung, berjahit atau bercantum
  12. Tutup kepala atau sebahagian darinya (seperti pakai topi)

    Tambahan untuk wanita sahaja

  13. Tutup muka (macam pakai purdah)

13 larangan ini berakhir selepas selesai bergunting di Marwah. Selepas selesai saie tujuh pusingan, jemaah umrah perlu buat rukun yang seterusnya iaitu bergunting atau bercukur. Selepas bergunting atau bercukur ini jemaah umrah akan berada dalam keadaan 'tahalul' maknanya 'bebas dari larangan ihram'. Situasi telah mencapai tahalul ini juga disebut 'bertahalul'.

Apa jadi kalau melanggar larangan ihram ini?

Ada 3 keadaan hukum bagi mereka yang melanggar larangan dalam ihram ni:

  1. Berdosa dan wajib bayar dam jika melakukan dengan hajat dan tanpa uzur.

  2. Tidak berdosa tapi wajib bayar dam jika melakukan tanpa niat tetapi terpaksa.

  3. Tidak berdosa dan tidak perlu bayar dam jika melakukannya kerana uzur atau jahil (tidak tahu), terlupa, dipaksa atau dilakukan ketika tidur.

No comments:

Post a Comment