25 June 2012

Telaga Zam Zam

Sebenarnya, aku tak jumpa pun Telaga Zam-Zam di Makkah. Telaga tu ada, tapi aku yang tak sempat jumpa. Dulu Telaga Zam-Zam ada dekat dengan kaabah, lebih kurang 21 meter dari Kaabah. Sekarang kalau pandang kaabah, dan tawaf 20 kali pun memang tak kan nampak telaga tu. Kerajaan Arab Saudi dah bina telaga tu di bahagian bawah kawasan tawaf. Jadi kalau nak tengok Telaga Zam-Zam tu, kena turun bahagian bawah Masjidil Haram. Yang tu yang aku tak sempat buat. Takpalah mungkin lain kali kalau ada rezeki, aku akan cari telaga tu.

Tu yang bulat tu ialah penutup kawasan telaga zam-zam. Dulu telaga zam-zam ada di kawasan bulat tu. Sekarang dah 'turun ke bawah'. Foto di bawah menunjukkan tangga untuk 'turun ke bawah' untuk ke kawasan telaga zam-zam. Masa aku umrah baru-baru ni, aku tak perasan pulak bulatan tu, dan tangga turun ke bawah tu.

Masa di Madinah dan Makkah, aku minum air zam-zam setiap kali sebelum sembahyang dan selepas sembahyang. Dulu masa kecik-kecik dulu aku bayangkan yang kita kena pegi ke telaga tu dan ceduk air dia. Tapi sekarang tak perlu pergi ke telaga untuk minum. Sebabnya dalam masjid dah disediakan tong-tong air zam-zam. Dalam Masjid Nabawi dan Masjidil Haram ada banyak tempat yang disediakan barisan tong-tong ni.

Macam nilah barisan tong-tong air Zam-Zam yang disediakan di banyak lokasi dalam Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Dalam setiap baris tu ada satu tong yang tak sejuk, ditulis di luar tong 'Not Cold'. Yang lain airnya telah disejukkan terlebih dahulu. Minumlah puas-puas sampai kembung perut. Free je. Tak ada sapa yang marah. Tengok orang tu bawa kasut. Ni perkara lumrah. Orang bawa kasut ke dalam masjid. Aku tak bawa macam tu sebab aku masukkan ke dalam uncang kasut. Kasut getah warna putih tu dibeli di Madinah. Aku pun ada beli satu, tapi bentuk dia macam selipar Jepun. Aku pakai di Malaysia sampai sekarang.

Atas: Tong air Zam-Zam diisi semula. Tong-tong air Zam-Zam ni diganti sepanjang masa. Jadi orang boleh minum sepanjang masa, 24 jam sehari tanpa henti. Foto bawah ni tempat minum air Zam-Zam di tempat Saie. Masa aku Saie kali pertama aku tak minum air ni. Innocent lagi masa tu. Tapi bila Saie masa umrah sunat kedua dan ketiga, aku rasa 3-4 kali aku singgah minum. Nota: masa mengerjakan Saie kita boleh berhenti di tepi dan minum air Zam-Zam. Lepas tu sambung balik Saie. Aku tengok, ada orang perempuan tuang air Zam-Zam ke seluruh kepala dia masa Saie tu. Macam mandi. Nak kata panas terik, mana ada, sebab laluan Saie tu berbumbung. Ntahlah. Lain bangsa lain gaya.

Tengok tong kat bawah ni. Bahagian bawah tong sebelah kanan ialah tempat gelas plastik. Ambil gelas tu, pastu kepala paip tong tu ada kat ruang tengah tu. Kepala paip dia jenis picit. Lepas minum, gelas tadi dimasukkan ke dalam lubang gelas sebelah kiri tu.

Di luar masjid pun ada disediakan tempat minum air Zam-Zam ni, tapi bukan dalam tong, tapi paip air. Di Masjidil Haram, aku tengok orang bawa tong-tong masing-masing, yang besar, yang kecil, untuk isi air Zam-Zam di paip tu untuk bawa balik.


Tong air zam-zam 10 liter yang diberi pada setiap jemaah umrah oleh agensi umrah.

Sejarah telaga Zam-Zam

Telaga zam-zam adalah lebih tua dari kaabah dan lebih tua dari kota Makkah itu sendiri. Ini kerana masa telaga zam-zam muncul di dunia ni, kota Makkah belum wujud lagi, dan kaabah belum pun dibina lagi. Air telaga zam-zam terpancar di kawasan kosong, tandus, dan kering kontang. Kawasan tersebut tidak berpenghuni. Tiada siapa pun tinggal di situ kecuali Siti Hajar dan anaknya Ismail.

Al-kisah Nabi Ibrahim a.s tinggalkan isterinya, Siti Hajar dan anaknya yang masih kecil, Ismail (Nabi Ismail a.s) di sebuah tempat kosong tak berpenghuni lagi sunyi. Hanya Siti Hajar dan Ismail sahaja yang ada di situ pada masa itu.

Pada suatu hari Ismail dahaga dan dia menangis. Memang kawasan tu tak ada air langsung. Siti Hajar pergi mencari air tapi tak jumpa. Dia berulang-alik antara bukit Safa dan Marwah (yang ada sekarang ni) sebanyak tujuh kali. Pun tak jumpa-jumpa air juga. Masa Siti Hajar habis berjalan kali ketujuh, dia lihat Ismail menangis sambil menghentak-hentak kakinya ke tanah, dan air tiba-tiba terpancut dari tanah.

Siti Hajar berlari-lari ke arah air itu sambil menjerit 'zam-zam' yang bermakna 'kepung air, kepung air'. Siti Hajar mengepung keliling mata air kecil tadi dengan batu-batu supaya air tidak mengalir keluar. Ada sumber lain kata yang Siti Hajar menjerit 'zomk-zomk' yang bermakna 'berhenti mengalir' (maksudnya, jangan bagi air tu mengalir hilang ke tempat lain). Dari situlah lahirnya nama 'zam-zam'. Air zam-zam mengalir tanpa henti. Akhirnya menjadi takungan, dan akhirnya telaga. Mata air zam-zam mengeluarkan air sejak zaman itu hingga kini.

Selama ini ilmu yang sampai kepada aku ialah air zam-zam terpancut keluar dari bumi kerana hentakan kaki Ismail a.s. Tapi aku ada jumpa sumber lain yang kata air zam-zam terpancut keluar kerana hentakan malaikat Jibrail a.s. Entahlah. Allah lebih mengetahui.

Peristiwa Siti Hajar berulang-alik mencari air dari bukit Safa ke bukit Marwah itulah yang menjadi asas kepada ibadat saie yang ada sekarang ini.

Apabila kawasan tersebut telah ada air, suku Arab yang lain mula singgah untuk meminta bekalan air dari Siti Hajar. Akhirnya kawasan tersebut menjadi semakin terkenal. Suku Arab yang pertama menetap di situ ialah Suku Jurhum. Namun Siti Hajar masih menjadi pemilik kepada Telaga Zam-Zam.

Apabila Ismail berumur lebih kurang 20 tahun, Nabi Ibrahim a.s balik semula ke Makkah dan mula membina bangunan Kaabah. Begitulah sejarahnya lebih kurang.

Air Terbaik di Dunia

Ada hadis Nabi Muhammad s'a.w. mengatakan yang Sebaik-baik air di permukaan bumi adalah air zamzam. Padanya ada makanan yang menyegarkan dan penawar bagi segala penyakit. Aku tak faham apa maksud padanya ada makanan yang menyegarkan. Hadis yang aku baca tu, takde pulak diberi keterangan. Jadi orang yang kurang ilmu macam aku ni terus tertanya-tanya sampai sekarang.

Masa umrah, kami diberi doa yang perlu dibaca masa minum air zam-zam, iaitu doa mohon diberi rezeki yang luas, diberi ilmu yang bermanfaat, dan supaya mendapat ubat kepada segala penyakit. Ada juga yang aku baca yang khasiat air zam-zam ni ikut apa yang kita niatkan.

Masa aku baru balik dari umrah dan balik kerja semula, seorang kawan aku ni mintak air zam-zam sikit, dia kata sebab dia selalu tak sihat dan banyak penyakit. Dia orang pertama yang aku bagi air zam-zam. Aku bagi sebotol. Seorang lagi staff aku ni pulak, perempuan, minta air zam-zam sebab sedara dia nak guna untuk berubat. Kalau berubat guna air zam-zam, lebih menjadi. Seorang lagi staff aku yang lelaki ni minta saja tapi dia tak sebut kenapa. Jadi di kalangan mereka ni air zam-zam ada macam-macam kegunaan. Aku pulak? Aku minum sebab inginkan berkat, dan untuk hilangkan dahaga. Tapi aku percaya air zam-zam memang ada khasiat perubatan. Tapi takde ler pulak aku nak paksa orang percaya apa yang aku percaya. Tu masing-masing punya keyakinan ler.

Air Zam-Zam di Arab Saudi Lebih Sedap

Ni aku selalu sengar. Dan ni aku mengakuinya. Memang air zam-zam yang dibawa ke Malaysia ni jadi 'kurang sedap'. Di Makkah dan Madinah, air zam-zam rasanya lain. Sedap sikit. Ntahlah, mungkin taste aku masa tu agaknya. Atau mungkin sebab di Tanah Arab cuaca panas kering jadi bila minum air zam-zam, rasa lebih menarik. Mungkin juga tekanan yang berbeza dalam kapal terbang telah mengubah struktur molikul air Zam-Zam. Entahlah.

Atas:Suatu ketika dulu macam inilah rupa telaga zam-zam di Makkah. Tak ada pagar. Silap haribulan boleh terjun ke dalam. Foto bawah: Itulah rupa penutup telaga zam-zam. Air dinaikkan menggunakan baldi yang diikat dengan tali. Penutup telaga zam-zam ni ada di Muzium Dua Masjid.

Telaga Zam-Zam yang Tak Logik

Bagi aku, Telaga Zam-Zam ni macam magic. Ia adalah hadiah khas Allah SWT untuk bumi Makkah yang ada kaabah. Dan bila Allah SWT nak buat sesuatu, maka 'kun fayakun', maka jadilah. Ada yang mengatakan salah satu dari mata air Zam-Zam berasal dari syurga.

Kewujudan telaga zam-zama tak boleh dihuraikan secara logik melalui ilmu geografi. Di sekolah kita belajar ilmu alam, lepas tu jadi geografi. Air yang membentuk air telaga ialah air bawah tanah. Di bawah tanah ada batu hampar yang tak tembus air. Jadi air bawah tanah dah tak boleh masuk ke dalam lagi, jadi air ni akan mengalir di atas batu hampar ni. Itu yang membentuk air telaga. Tapi air bawah tanah ni mesti ada sumber dari mana dia datang. Kalau di Malaysia, air bawah tanah ni datang sama ada dari sungai, atau dari bukit-bukau bila berlaku hujan.

Orang barat cuba menghuraikan teori telaga Zam-Zam yang tak pernah kering ni dengan hujahan geografi ini. Mereka kata Makkah adalah kawasan lembah (bentuk muka bumi melengkung macam kuali) dan di kelilingnya ada gunung dan kawasan tinggi yang menahan hujan. Bentuk lembah Makkah menjadi kawasan tadahan hujan yang luas iaitu kawasan seluas 60 km persegi.

Tapi mana logik air datang dari kawasan tinggi, sebab Tanah Arab tiada sebatang sungai pun, kadar sejatan sangat tinggi dan air cepat menjadi wap, dan purata hujan di bumi Arab ialah hujan setahun sekali. Mana mungkin sekali hujan dapat membekalkan air Zam-Zam tanpa henti untuk berjuta-juta jemaah haji tanpa pernah kering. Kawasan tadahan hujan seluas 60km persegi dengan purata hujan sekali setahun tak akan mampu menyediakan air tanpa kering selama setahun. Jadi dari mana datangnya air telaga zam-zam it? Tak dapat dihuraikan dengan akal.

Kesimpulan aku, air Zam-Zam adalah mukjihat, lambang keagungan Allah SWT. Air Zam-Zam bukanlah air mata air biasa dari sungai bawah tanah seperti mana yang kita pelajari dalam ilmu geografi.

Dalam sejarah Tanah Arab sejak zaman Nabi Ibrahim a.s, air Telaga Zam-Zama tak pernah kering. Purata jemaah haji ialah dua juta orang. Kalau mereka minum air zam-zam pada setiap masa, berapa juta liter air yang disedut dari telaga Zam-Zam. Itu tak termasuk bekalan yang setiap masa di hantar ke Masjid Nabawi. Tapi air telaga Zam-Zam tak pernah kering sejak beribu-ribu tahun yang lampau.

3 comments:

  1. Telaga jer tapi tak kering , negara lain Empangan tapi kering juga.. kuasa Allah melebihi segala2nya..

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah,nikmat yg Allah turunkn kpd bumi arab dan rahmat utk kita seluruh umat muhammad dpt merasai anugerah yg sgt berharga kpd kita sbgai hambanya.

    ReplyDelete
  3. Alhamdulillah,nikmat yg Allah turunkn kpd bumi arab dan rahmat utk kita seluruh umat muhammad dpt merasai anugerah yg sgt berharga kpd kita sbgai hambanya.

    ReplyDelete