25 June 2012

Masjid Quba

Masjid Quba ialah masjid yang pertama dalam sejarah Islam. Nabi Muhammad s'a.w bina masjid ni masa baginda baru sampai dari perjalanan hijrah pada tahun 622 Masihi. Masjid Quba ialah destinasi lawatan kami yang pertama. Kami naik bas ke masjid ni pada hari Sabtu, 2 Jun 2012.

Masjid ni terletak kira-kira dua batu dari Masjid Nabawi. Nabi Muhammad s'a.w pernah tinggal di masjid ini selama 20 hari. Pada zaman dahulu rumah Saidina Ali terletak di belakang Masjid Quba. Masjid ini dianggap sebagai masjid keempat paling suci dalam dunia Islam selepas Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjid al-Aqsa di Palestine. Al-Quran (Surah At-Taubah:108-9) menyebut masjid ini sebagai masjid yang dibina di atas ketaqwaan.

Walaupun Masjid Nabawi telah dibina, Nabi Muhammad s'a.w. tetap berkunjung ke Masjid Quba untuk bersembahyang sunat. Ada hadis yang meriwayatkan yang Nabi Muhammad s'a.w. selalu pergi sembahyang di Masjid Quba pada setiap hari Sabtu (hadis riwayat Bukhari), dan Nabi Muhammad s'a.w pernah bersabda yang sesiapa yang mengambil air sembahyang kemudian dia pergi sembahyang di Masjid Quba maka dia peroleh pahala seperti melakukan umrah (hadis riwayat Tirmizi).

Pada tahun 1986, kerajaan Arab Saudi telah meruntuhkan masjid Quba dan membina masjid baru di atas tapaknya. Arkiteknya ialah Abdel-Wahed El-Wakil dari Mesir. Khabarnya arkitek Mesir ini mendesak untuk mengekalkan bangunan masjid lama dan hanya menambah binaan-binaan baru. Namun kerajaan Arab Saudi berkeras untuk meruntuhkan semua binaan lama masjid berkenaan. Jadi masjid yang ada sekarang ini ialah binaan baru dengan corak baru, dan bukan Masjid Quba yang asal.

No comments:

Post a Comment