25 June 2012

Jabal Rahmah

Al-kisah punya riwayat orang dulu kala (dan orang sekarang pun) Jabal Rahmah di bumi Arab ni ialah tempat pertemuan pertama Nabi Adam dan Hawa selepas mereka disingkirkan dari syurga. Adam terhumban di kawasan Iraq sekarang, manakala Hawa tercampak ke Sri Lanka sekarang. Mereka bertemu semula di Jabal Rahmah. Cara pertemuan itu pula ialah belakang bertemu belakang, ala-ala Bollywood gitu. Sungguh dramatis.

Macam mana Jabal Rahmah ni jadi simbol cinta dan kasih sayang aku pun tak sempat belajar. Mungkin kesan dari kisah pertemuan semula sepasang suami isteri yang telah lama terpisah. Ada cerita-cerita kata Nabi Adam a's dan Hawa bertemu 200 tahun selepas terpisah dari syurga.

Di puncak Jabal Rahmah inilah kata orang dulu kala dan sekarang menjadi tempat untuk orang menyatakan niat kasih sayang masing-masing. Banyak cerita yang didengar kononnya hajat cinta kasih sayang mereka itu memang tercapai. Sampai tv pun ada drama tentang niat cinta kasih sayang di Jabal Rahmah ni. Pelakon dia Ziana Zain dan Fahrin (jadi mutawif). Fahrin ajar Ziana Zain tentang sejarah Jabal Rahmah. Last-last Ziana Zain berdoa supaya dia dapat jodoh dengan Fahrin yang hensem. Sampai sekarang, Jabal Rahmah dah semacam menjadi 'tempat untuk berdoa mencari jodoh'.

Dalam bas pun masa nak sampai ke Jabal Rahmah, jemaah bergurau sesama sendiri tentang doa cinta kasih sayang yang berkesan tu. Aku dengar je. Dalam hati aku pikir, tak kan semudah tu boleh termakbul hajat.

Jabal Rahmah terletak di timur Padang Arafah. Kira-kira 18 km dari Makkah. Bukit berbatu Jabal Rahmah ni tidaklah tinggi sangat. Lebih kurang 65 meter sahaja. Di puncaknya ada satu monumen setinggi 8 meter. Tak pulak aku kira berapa minit diperlukan untuk menapak dari bawah ke atas. Tapi aku dengar ada 168 anak tangga dari bawah ke atas.

Tempat wahyu terakhir di dunia

Menurut sejarah Islam, di Jabal Rahmah inilah Nabi Muhammad s'a.w memberikan kutbah terakhir baginda pada musim haji. Itulah yang dinamakan Haji Wida'. Di Jabal Rahmah ini jugalah baginda menerima wahyu yang terakhir iaitu dari Surah Al-Maidah:3 yang bermaksud "Pada hari ini orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agamamu, sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku. Pada hari ini telah Ku sempurnakan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku ridhai Islam itu jadi agama bagimu."

Pemandangan dari kawasan parkir. Tiang besar di puncak Jabal Rahmah jelas kelihatan dari jauh.

Unta berhias? Sama macam unta berhias di Bukit Thur. Semuanya senyum menunggu customer. Tapi unta ni untuk jalan-jalan di kawasan bawah saja. Bukan digunakan untuk naik ke atas Jabal Rahmah. Tak pernah dibuat orang.

Orang ramai naik ke atas ikut tangga.

Inilah dia. Tiang besar yang menjadi fokus semua pengunjung. Masa kami datang, bahagian bawah warna hitam, bahagian atas warna putih. Sebenarnya kerajaan Arab Saudi cat batang tu dari masa ke semasa untuk hilangkan semua grafiti dan autograf orang ramai.

Pemandangan sebahagian dari Padang Arafah dari atas Jabal Rahmah. Ketulan-ketulan batu di situ pun tak selamat dari menjadi tempat orang letak nama masing-masing.

Jurufoto tak bertauliah memang ramai di puncak Jabal Rahmah. Mereka gunakan kamera polaraid jadi gambar terus siap. Tak salah aku empat keping. Ada satu kakak tu dia ambil gambar guna jurufoto tak bertauliah ni. Bila dah siap, dia nak satu keping saja. Jurufoto tu kata mana boleh satu, kena ambil semua. Si kakak tu pulak berkeras dia bukan nak semua. Lepas tu si jurufoto tadi hempas kepingan gambar tu sambil marah-marah. Garangnya. Lepas tu aku tak tau apa drama seterusnya.

No comments:

Post a Comment