25 June 2012

Saie

Saie ialah rukun umrah yang ketiga iaitu berjalan berulang alik sebanyak tujuh kali antara bukit Safa dan bukit Marwah. Saie dibuat sebaik sahaja selesai tawaf. Selepas habis tujuh pusingan saie iaitu semasa berada di Marwah, kami akan bercukur di situ juga. Selepas bercukur, maka kami mencapai tahalul iaitu sudah bebas dari larangan-larangan 13 perkara ihram. Maka selesailah umrah kami.

Lepas kami habis tujuh pusingan tawaf, mutawif kami suruh kami buat solat sunat di belakang Maqam Ibrahim. Lepas tu dia suruh kami minum air zam-zam dari tong-tong yang ada dekat situ. Lepas tu dia suruh kami tunggu di satu tempat di tangga masjid sementara menunggu jemaah lain yang sejak pertengahan tawaf tadi sudah berpecah-pecah.

Lepas tu kami dibawa ke satu pintu yang ada tulis 'Safa' di situ. Bermula dari bukit Safa kami berjalan pergi ke Marwah (1), patah balik ke Safa (2), ke Marwah sekali lagi (3), balik ke Safa semula (4), lagi sekali ke Marwah (5), ke Safa semula (6) dan sekali lagi ke Marwah (7) untuk cukupkan tujuh kali. Bermakna mula di Safa dan ending dia di Marwah. Di Marwah itulah kena bercukur atau gunting rambut at least tiga helai. Selepas bercukur atau bergunting tadi maka selesailah ibadah umrah tu. Jemaah dianggap telah mencapai tahalul iaitu bebas dari rukun-rukun ihram.

Perjalanan tujuh pusingan tu adalah lebih kurang 3.5km. Laluan Safa ke Marawah pergi dan balik ada bumbung dan kipas angin. Terlindung dari cahaya terik matahari. Di sepanjang laluan ada tong-tong dan paip air zam-zam untuk diminum. Kalau kita baca buku-buku memang ditulis 'Bukit Safa'. Tapi sebab laluan tu sudah berada dalam bangunan, jadi dah tak nampak sangat bukit tu.

Syarat sah saie

Syarat-syarat sah saie ialah:

  • Dilakukan selepas tawaf. Kalau dibuat sebelum tawaf, memanglah tak sah. Bukan saja saie tu tak sah, malah seluruh umrah tu tak sah.

  • Tujuannya hanyalah semata-mata untuk Sai’e. Maknanya di sini, dalam sepanjang tujuh pusingan antara Safa ke Marwah tadi, kena sentiasa fokus dan berniat untuk bersaie dan bukan untuk perkara-perkara lain.

  • Bermula dari Bukit Safa dan tamat di Bukit Marwah. Tak boleh terbalik.

  • Cukup tujuh pusingan.

  • Jarak perjalanan Safa ke Marwah dikira dari kaki bukit ke kaki bukit.

  • Perjalanan dari Safa ke Marwah dan sebaliknya tidak terputus atau guna jalan pintas.

Tahalul

Tahalul ialah satu keadaan di mana seseorang (yang buat umrah) itu sudah bebas dari larangan-larangan ihram (yang 13 perkara itu). Bertahallul bermakna melepaskan diri dari larangan ihram menurut cara yang ditetapkan untuk umrah. Dalam ibadat umrah, seseorang itu dianggap telah mencapai tahalul setelah selesai melaksanakan dengan sempurna semua kerja-kerja rukun yang lain iaitu (1) niat, (2) tawaf, dan (3) saie.

Syarat tahalul ialah menggunting sekurang-kurangnya tiga helai rambut di kepala. Kalau cukur seluruh kepala lagi afdhal. Kalau orang tu botak, memadai untuk melalukan pisau cukur atau gunting di atas kepalanya.

Aku tengok masa bercukur tu, masa di Marwah, kumpulan-kumpulan jemaah umrah gunting rambut masing-masing dalam kumpulan masing-masing. Yang tak bawak gunting tu memang haru sikitlah sebab kena pinjam sana-sini. Lepas gunting rambut, kami buang rambut tu dalam bekas yang disediakan. Cleaner sentiasa ada di situ untuk jaga kebersihan.

Untuk kaum wanita pula, aku difahamkan oleh ustaz masa kursus haji dulu yang mereka boleh potong mana-mana bahagian rambut mereka untuk tahallul asalkan tidak kurang dari tiga helai. Si suami boleh menggunting rambut isterinya sebelum menggunting rambutnya sendiri. Tetapi sebaik-baiknya suami menggunting rambutnya dulu. Perempuan yang sedang haid pula boleh bertahallul dan rambut yang dipotong dimasukkan saja ke dalam bekas yang disediakan.

Foto di bawah. Tengok lampu hijau di bumbung tu. Bila melepasi lampu hijau ni, jemaah lelaki disunatkan berlari-lari anak sehinggalah sampai ke satu lagi lampu hijau. Dikatakan kawasan di antara lampu hijau itulah kawasan di mana Hajar berlari-lari semasa mencari air untuk anaknya Ismail yang masih kecil.

Foto di bawah menunjukkan tempat melakukan Saie. Laluan Saie betul-betul terletak di sebelah tempat tawaf. Saie ni adalah bersempena dengan peristiwa Hajar mencari air untuk anaknya Ismail. Pada masa itu, kawasan di situ kering kontang dan tak berpenghuni. Tiada bangunan satu pun, tiada orang, tiada kaabah, dan tiada air. Hajar dan Ismail ditinggalkan di situ oleh Nabi Ibrahim a.s. Hajar berjalan antara bukit Safa dan bukit Marwah (laluan orang bersaie tadi) sebanyak tujuh kali kerana mencari air. Setelah sampai ke Marwah setelah tujuh pusingan berlari, Hajar nampak air terpancut dekat dengan kaki Ismail yang sedang menangis dan menghenta-hentak kakinya kerana sangat dahaga. Itulah asal-usul telaga zam-zam.

2 comments:

  1. Massyallah, perkongsian tuan sangat membantu terutama yang baru kali pertama pergi, Doakan saya berserta suami dapat menjalankan ibadah umrah dgn baik. Terima kasih atas perkongsian ya.

    ReplyDelete
  2. Saya mohon gunakan gambar saie tuan utk tulisan saya

    ReplyDelete