30 June 2012

Ladang Kurma

Pokok kurma berbuah setahun sekali. Buah kurma yang sedang membesar perlu melalui dua musim iaitu musim sejuk dan musim panas untuk menjamin buah kurma yang berkualiti. Ada gerai-gerai jual pelbagai jenis kurma di ladang kurma tu. Tapi harga kurma di ladang ni lebih mahal dari kurma yang dijual di pasar-pasar Madinah. Ini mungkin kerana kurma yang dijual di ladang ni lebih fresh dan berkualiti. Di dunia ni ada 1400 jenis kurma. Banyak tu.

Kurma Ajwa (atas dan bawah) atau Kurma Nabi. Kurma Ajwa ialah sejenis kurma berbentuk hampir bulat dan sedikit kecil dengan warna kehitaman selain texturnya tebal lembut dan kering. Rasanya tidak terlalu mengigit seperti jenis kurma lain. Medrupakan kurma paling mahal di dunia. Bagi umat Islam, ini ialah kurma yang paling istimewa. Pada zaman Nabi Muhammad s'a.w dulu, kurma Ajwah ini ialah kurma makanan orang miskin. Nabi pernah bersabda (yang maksudnya) barangsiapa makan tujuh biji kurma Ajwah setiap hari maka ia terlindung dari gangguan sihir.

Kurma Ajwa ini dikatakan kurma yang ditanam oleh Nabi Muhammad s'a.w sendiri. Di ceritakan pada suatu hari Rasulullah s'a.w sedang berpuasa dan apabila tiba waktu untuk berbuka puasa satu makanan pun tidak ada untuk baginda makan. Malaikat Jibril yang melihat keadaan baginda berasa sedih lalu memohon kepada Allah supaya mengurniakan makanan kepada Nabi Muhammad s'.a.w untuk berbuka puasa. Allah memperkenankan permintaan tersebut dan Malaikat Jibrail memberikan buah kurma yang istimewa kepada Nabi Muhammad s'a.w. Setelah selesai berbuka puasa, Nabi Muhammad s'a.w menanam biji buah kurma tadi. Bermula dari peristiwa itulah seterusnya pokok kurma Ajwa tumbuh dan membesar di kawasan Madinah. Katanya juga kurma Ajwa tidak akan hidup atau berbuah di mana-mana tempat selain dari Madinah. Wallahu'alam.

Buat passport antarabangsa dan buku suntikan umrah

Ada beberapa dokumen penting yang perlu diberikan kepada agensi umrah, iaitu:

  1. buku passport antarabangsa

  2. buku suntikan umrah (suntikan meningitis ACYW135)

  3. empat keping gambar

Semua dokumen di atas dan mana-mana dokumen yang berkaitan di bawah mesti diserahkan di pejabat Andalusia Travels 30 hari sebelum hari penerbangan.

Dokumen tambahan

Berikut ialah dokumen tambahan yang kita kena bagi pada agensi jika berkaitan:

  • Kalau isteri pergi tanpa suami:

    • Salinan kad pengenalan suami
    • Salinan surat nikah
  • Kalau wanita bujang pergi sorang-sorang:

    • Salinan surat beranak sendiri
    • Salinan surat beranak dan salinan kad pengenalan adik beradik lelaki yang melebih 18 tahun, atau
    • Salinan kad pengenalan bapa
  • Kalau lelaki kurang dari 18 tahun:

    • Salinan kap pengenalan bapa (jika bapa tak pergi sama)
    • Salinan surat beranak sendiri, atau
    • Salinan surat beranak dan salinan kad pengenalan adik beradik lelaki yang berumur lebih 18 tahun
  • Kalau ibu ikut anak lelaki (aku ler ni):

    • Salinan surat beranak anaknya yang ikut pergi sama
  • Kalau isteri mengikut suami (ni pun aku jugak):

    • Salinan surat nikah

Macam kes aku, dokumen yang aku serahkan kepada Andalusia Travels ialah buku passport, buku suntikan umrah, gambar empat keping, salinan surat beranak aku (sebab mak aku ikut sekali), dan salinan sijil nikah aku (sebab aku pergi dengan isteri).

Buat passport antarabangsa

Nak pi keluar negara mesti ada passport antarabangsa. So jemaah umrah yang belum ada passport antarabangsa kenalah buat segera. Kalau dah ada passport, passport tu mesti masih ada at least enam bulan sebelum tamat tempoh (tempoh sah laku). Lepas tu buku passport antarabangsa tu mesti ada lagi at least enam muka surat kosong.

Sekarang ni senang je nak buat passport antarabangsa. Kalau nak buat setahun atau dua tahun bayar RM100. Kalau lima tahun, RM300. Sekarang pejabat imigresen buat dalam masa sejam selepas kita buat pembayaran.

Passport antarabangsa ni kita kena submit ke agensi umrah. Aku difahamkan agensi umrah akan mohon visa dari kerajaan Arab Saudi. Passport tu nanti kita dapat balik di airport masa nak berlepas nanti.

Time aku dulu, lepas kami semua check-in bagasi, pegawai Andalusia panggil kami berkumpul beramai-ramai di sebuah pentas di balai berlepas (tingkat lima KLIA) untuk diberikan taklimat, diberi sekeping starter pack prepaid, dan diberi balik buku passport dengan boarding pass. Dalam passport itu aku tengok dah ada visa masuk ke Arab Saudi.

Passport tu kita gunakan di airport Jeddah. Itulah last sekali kita gunakan passport tu sebab lepas saja kami naik bas, mutawif akan kumpulkan balik semua passport kami. Mutawif akan simpan semua passport kami selama 12 hari kami di Arab Saudi. Jadi masa kami jalan-jalan di sana-sini di bumi Arab kami hanya gunakan tag nama Andalusia tu sebagai id diri dan dokumen perjalanan. Kami dapat balik passport masing-masing dan bording pass pada hari akhir di Jeddah sebelum kami masuk check-in di airport Jeddah.

Buat suntikan umrah

Kena buat Buku suntikan umrah (atau suntikan meningtis ACYW135). Aku sebut suntikan umrah je. Tapi nama medical suntikan ni ialah 'Suntikan Pelalian Vaksin Meningococcal Meningitis'. Aku diberitahu buku tu juga disebut buku kuning. Tapi bila aku dapat dari klinik, warna dia merah macam foto atas tu. Aku tanya kat kaunter klinik tu betul ke warna ni, tak pergi umrah saya nanti. Nurse tu gelak je, betul encik. Sekarang warna dia macam ni. Oklah. Memang aku tak tahu pun. Terbang RM120. Mahal jugak. Tapi takpe. Demi kesihatan.

Buku suntikan atau surat suntikan ni kita kena buat di mana-mana klinik yang ada servis ni. Tapi tak semua klinik ada servis ni. Aku buat di Prima Sri Gombak. Klinik tu klinik baru, tapi di luar dinding kaca depan ada notis kecil tulis 'Suntikan Umrah'. Doktor dia doktor perempuan India.

Mula-mula doktor tu nak buat medical check-up semua. Aku kata kena buat medical check-up ke? Rupa-rupanya dia ingat aku nak pi haji. Aku kata nak pi umrah je. Barulah dia buat suntikan je. Aku tanya ni actually suntikan apa? Dia kata suntikan tu diwajibkan oleh kerajaan Malaysia. Suntikan tu sebenarnya suntikan untuk mencegah meningtis. Ok juga doktor ni, boleh sembang-sembang. Masa dia nak inject tu aku kata sakit ke doktor, nanti saya pengsan. Dia gelak aje sambil kata tak sakit. Memang tak sakit pun. Lepas tu dia kata nanti akan demam sikit sebab kesan vaksin tu bertindak balas dengan badan kita. Oklah tu.

Aku buat di KL senang je. Tapi mak aku ada problem di Johor Bharu. Dia kata takde klinik yang buat suntikan tu. So aku balik meredah lebuhraya PLUS selama 4 jam untuk balik ke JB dan uruskan suntikan untuk emak aku. Memang jenuh cari klinik dan poliklinik yang ada servis tu. Semua tak buat. Last-last jumpa satu Klinik Kamal. Dia ada buat suntikan tu. Tapi dia bagi surat sekeping je, bukan buku. Aku kata mana buku kuning tu. Depa kata pakai surat ni je. Aku tanya lagi betul ke ni. Tak dapat pegi mak aku kang. Depa tanya pulak guna agensi apa? Aku kata Andalusia. Depa jawab oh depa memang selalu bagi suntikan untuk jemaah Andalusia dan takda problem pun pakai surat tu. Oklah, aku terimalah. Dan memang betul pun, surat tu je laku di Andalusia.

Kalau berminat, bacalah serba sedikit info pasal meningtis ni kat bawah entree ni.

Empat keping gambar

Kalau pegi kedai gambar kata je 'gambar untuk pegi umrah'. Tahulah towke gambar tu macam mana nak buat. Gambar tu background dia putih. Empat keping. Aku tengok gambar tu sekeping digunakan untuk visa, sekeping dilekatkan di belakang buku passport aku, sekeping lagi dilekatkan kat buku suntikan umrah aku, dan yang last sekeping tu dibuat tag nama.

Tentang meningtis

Penyakit 'Meninggococcal Meningitis' adalah sejenis penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria Nesseria Meningitides. Jangkitan penyakit ini menyebabkan radangan pada bahagian selaput otak dan saraf tunjang. Bakteria ini berjangkit melalui hubungan secara lansung (close contact) dengan titisan mulut dan hidung pesakit yang dijangkiti. Tempoh pengeraman jangkitan adalah di antara 2 hingga 10 hari. Mereka yang mengidap jangkitan ini akan mengalami demam, loya, bisa kepala dan sakit tengkuk (neck stiffness). Antara 5% - 10% pengidap tidak menunjukkan tanda-tanda klinikal tetapi masih berupaya menularkan penyakit (symtomless carriers). Penyakit ini boleh bawa maut. Namun dengan rawatan awal, kadar kematian dari jangkitan penyakit ini adalah dari 5% hingga 15%, tetapi jika tanpa rawatan kadar kematian akan melebihi 50%. Diagnosa penyakit ini melibatkan ujian makmal khas seperti ujian cecair tulang belakang (cerebral spinal fluid). Jangkitan penyakit ini boleh dicegah melalui pelalian menggunakan Vaksin 'Meningococcal Meningitis. Itulah suntikan umrah tu sebenarnye.

Kerajaan Arab Saudi mendapati risiko jangkitan 'Meningococcal Meningitis' di kalangan jemaah haji dan umrah semasa di Arab Saudi adalah tinggi. Oleh sebab itulah semua bakal haji dan umrah diwajibkan mendapatkan pelalian 'Meninggococcal Meningitis' yang sah sebelum visa haji atau umrah dikeluarkan. Peraturan mewajibkan pelalian 'Meninggococcal Meningiti' ke atas bakal jemaah haji dan umrah oleh Kerajaan Arab Saudi telah bermula sejak tahun 1988 lagi.

Pada mulanya jenis vaksin yang diwajibkan kepada bakal jemaah haji dan umrah adalah Vaksin 'Meningococcal Mengintis' A, C. Namun disebabkan terdapat perubahan corak jenis kuman yang menyebabkan jangkitan penyakit, mulai tahun 2002 Kerajaan Arab Saudi mewajibkan penggunaan Vaksin 'Meninggococcal Meningitis' jenis A, C, Y, W135 yang juga dikenali sebagai Vaksin 'Meningococcal Meningitis Quadrivalent' (ACYW135). Satu suntikan Vaksin 'Meningococcal Meningitis' (ACYW135) boleh memberi perlindungan kepada individu berkenaan selama 3 tahun dari jangkitan penyakit 'Meninggococcal Meningitis yang disebabkan oleh kuman Nisseria Meningitidies dari SerotypeA, C, Y, dan W135. Jadi kalau kita nak pergi umrah atau haji dalam tempoh tiga tahun maka bolehlah menggunakan buku kuning yang ada tu. Lepas tiga tahun, kena buat buku baru (dan dapat suntikan baru).

Tempat makan-makan

Restoran Indonesia, first time makan situ pada hari Sabtu 2 Jun 2012. Pada hari Ahad 3 June lepas Zohor aku dan isteri singgah lagi ke restoran ni untuk minum-minum. Dari hotel kami ikut kanan terus je lebih kurang dua blok kedai. Nama dia Restoran Indonesia jadi mula-mula cari memang jenuh tak jumpa. Pusing sana pusing sini. Rupa-rupanya restoran tu tingkat satu dan nak masuk ikut pintu Al-Qarat Restaurant (tengok gambar bawah).

Bila masuk ke restoran tu masih ada nama Al-Qarat Restaurant. Entah macam mana jadi Restoran Indonesia kami pun tak tahu.

"Our chicken is national from farm to kettle." Dulu sebelum sampai ke Tanah Arab aku dah jumpa poster ni dalam blog orang yang dah pergi umrah. Bila aku masuk ke restoran Indonesia tu, my goodness, memang poster tu masih ada kat cermin tu. Apa maksud? Entahlah. "Ayam kami kebangsaan dari ladang ke cerek?"

Tapi memang ramai orang di situ. Ada local, jemaah umrah (macam kami) dan students Malaysia yang study di Madinah. Pekerja dia ramai bangla dan Indon. Ada makanan lauk pauk Melayu (+ Indon), western dan makanan Arab. Aku order air mangga gelas besar. Pekat dan sodap.

Tengok foto di atas. Klik untuk tengok foto besar. Sop Buntut. Gerai-gerai makan macam di atas tu memang banyak. Konsep dia ialah masuk-tengok-beli-keluar. Meja kerusi memang tak ada. Makanlah di mana-mana pun. Jadi di Makkah dan Madinah, makanan memang takda masalah. Yang jadi masalah ialah masa untuk pergi, dan kena tahu arah mana nak pergi. Makanan ala-Indonesia memang banyak. Tapi kalau nak lari dari 'taste Arab' pergilah ke Restoran Indonesia tadi.

27 June 2012

Perkuburan Baqi

Perkuburan Baqi ialah tanah perkuburan yang luas yang terletak bersebelahan dengan Masjid Nabawi. Dalam jadual kami, lepas melawat Raudhah, jemaah lelaki akan pergi ke tanah Perkuburan Baqi. Aku ingatkan kami kena naik bas. Rupa-rupanya jalan kaki sahaja. Selepas selesai sembahyang di Raudhah dan melawat makam Rasulullah s'a.w, kami berkumpul di satu kawasan di luar masjid. Setelah kumpulan kami agak ramai, kami pun dibawa oleh mutawif untuk pegi ke sebuah pintu di pagar Masjid Nabawi, dan terus masuk ke kawasan Perkuburan Baqi. Kat situ rupanya. Dekat aje. Pada asalnya dulu-dulu perkuburan Baqi ni terletak di luar Madinah. Namun zaman berganti zaman dan kawasan kubur tu menjadi semakin luas ke arah Madinah dan akhirnya sampai ke tepi Masjid Nabawi.

Semua kubur di sana adalah macam dalam gambar di atas dan di bawah. Tanah hampir rata dan kering kontang tanpa ada tumbuh-tumbuhan. Batu nesan ada satu sahaja, tak bertanda (tak ada tulisan atau catatan apa pun), dan berbagai ragam bentuk dia. Dulu memang ada tanda, tapi kemudian telah dimusnahkan tanda-tanda tu di atas arahan pemerintah Arab dan ulamak-ulamak Wahabi. Kalau batu nesan di Malaysia ni, sama je bentuk dia, atau bentuk tu memang kita kenal sangat. Tapi kalau diperhatikan dalam gambar-gambar ni, batu nesan dia bermacam-macam rupa. Ada yang macam batu, ada yang macam tunggul je. Jadi kalau aku ditakdirkan mati di Madinah dan ditanam di situ, anak-anak aku tak kan tahu yang mana satu kubur aku. Dan burung merpati memang banyak di situ. Sangat banyak.

Masa melawat tu mutawif tu ada cerita, ini kubur siapa itu kubur siapa. Ada jemaah yang bawa buku doa (yang diberi percuma oleh Andalusia), jadi sambil melawat, depa baca macam-macam doa ikut buku tu. Aku tak baca apa pun, sebab asyik dengar cerita mutawif tu. Tu bukan ustaz Shauki mutawif kami, tapi mutawif muda orang Indon. Slang Indon tak tinggal.

Guard dengan baju perang celorang-celoreng banyak berkawal di sana. Ada satu kawasan kubur tu ada pagar. Kata mutawif Indon tu, itu ialah kubur puteri Nabi Muhammad s'a.w tapi yang mana satu aku tak ingat. Asalnya tak berpagar, tapi lepas ramai orang pegi tawaf di kubur tu, maka kerajaan Arab Saudi arahkan pasang pagar di sekeliling kubur tu. Ni untuk mengelakkan amalan kurafat.

Foto atas ialah makam Saidina Uthman bin Affan, penyusun al-Quran, Khulafa ar-Rashidin ketiga, menantu Rasulullah s'a.w. Makamnya dikepung khas, dan tidak bercampur dengan kubur-kubur yang lain. Tapi terlalu simple. Batu nesannya tak bertanda, tiada sebarang tulisan, macam batu nesan yang lain. Berhampiran kubur Saidina Uthman bin Affan terdapat kubur Halimah as-Saadiah iaitu ibu susu Nabi Muhammad s'a.w.

Setakat yang ingat dari segi lokasi, apabila mula-mula masuk ke kawasan perkuburan ini, beberapa tapak ke hadapan dan di sebelah kanan terletak kubur puteri-puteri Nabi Muhammad s'a.w. iaitu Umi Kalthom, Ruqiyah (Roqayyah) dan Zainab. Kalau maju lagi beberapa tapak ke hadapan akan jumpa kubur kesemua sembilan isteri-isteri Nabi Muhammad s'a.w. Tapi kubur-kubur mereka digabungkan.

Kalau masuk ke tanah perkuburan dan belok ke kiri akan jumpa kubur makcik paling rapat Nabi Muhammad s'a.w iaitu Saidatina Safia. Jalan lagi ke hadapan akan jumpa kubur anak lelaki Nabi Muhammad s'a.w yang meninggal dunia masa kecil iaitu Ibrahim. Jemaah umrah akan mudah jumpa kubur ini kerana inilah kubur yang paling kecil di situ. Kubur lain yang ada di sana ialah kubur cucu Rasulullah s'a.w iaitu Saidina Hassan, bapa saudara baginda iaitu Abbas.

Aku ada terbaca yang mengatakan ada 10,000 orang sahabat Nabi Muhammad s'a.w di kawasan perkuburan Baqi ni. Selain dari isteri-isteri dan puteri dan putera Nabi Muhammad s'a.w, yang turut dikebumikan di perkuburan Baqi ini ini ialah Abbas bin Abdul Muttalib (bapa saudara Nabi), Jaafar as-Sidiq (sepupu Nabi), Abdul Rahman bin Auf, Saad bin Abi Waqqas, Fatimah binti Asad (ibu Sayyidina Ali), Saad bin Muaz, dan Abdullah bin Mas’ud.

Tanah Perkuburan Islam Paling Suci di Dunia

Tanah Perkuburan Baqi dianggap sebagai tanah perkuburan paling suci dalam dunia Islam kerana di sana disemadikan puteri-puteri Rasulullah s'a.w, isteri-isteri baginda (kecuali Khadijah), sahabat-sahabat baginda dan pahlawan-pahlawan Islam. Khadijah Al-Khuwalid dikebumikan di tanah perkuburan jannat al-Ma’ulla di Makkah.

Aku pernah jumpa satu hadis yang bermaksud lebih kurang pada hari akhirat nanti Nabi Muhammad s'a.w ialah orang yang pertama bangkit dari kubur, selepas tu Saidina Abu Bakar as-Siddiq, selepas tu Saidina Umar al-Khattab, selepas itu penghuni kubur Baqi. Jadi sangat beruntung kepada sesiapa yang ditanam di tanah perkuburan Baqi ni.

Foto atas: kaum wanita tidak dibenarkan memasuki kawasan perkuburan. Mereka hanya boleh melihat dari sebelah pagar masjid. Masa kami melawat kawasan perkuburan ni, kaum perempuan dalam jemaah kami ada program lain di Raudhah.

Foto atas: pandangan kawasan perkuburan Baqi dari atas. Kering, tandus, tanpa sebarang tumbuhan.

25 June 2012

Persediaan diri

Pada pandangan aku secara asasnya ada empat perkara yang perlu disediakan sebelum pergi umrah. Pertama: Jiwa yang sudah bersedia. Kedua: Ilmu tentang umrah. Ketiga: Fizikal tubuh badan yang sihat. Keempat: Peralatan dan keperluan material.

Orang yang cukup duit dan kaya-raya boleh sediakan yang kedua, ketiga dan keempat secukupnya. Tapi yang pertama tu aku rasa tak semua bersedia, atau bersedia dengan sempurna. Tapi iyerlah, kan. Lain orang lain umrahnya dan umrah masing-masing adalah antara dia dan Tuhan.

1. Persediaan minda dan rohani

Aku rasa kena jugak setkan dalam minda yang pergi umrah adalah untuk beribadat dan bukan untuk melancong. Mental kena ready. Kalau pergi melancong, kita tak akan ubah perangai yang sedia ada. Tapi bila pergi beribadat, perubahan pada perseonaliti perlu ada. Maksudnya, sudah bersedia untuk pegi sana dan jadi manusia yang lebih baik dari segi sunnah dan syariat. Jadi manusia yang lebih baik bermakna balik dari umrah nanti, kita akan jadi muslimin yang lebih baik dari yang sebelumnya.

Lain orang lain penafsirannya tentang misi pergi umrah. Ada yang pergi semata-mata kerana menunaikan ibadat. Jadi orang macam ini tak mahu pergi umrah sambil melawat sana-sini seperti ke Jordan atau Mesir terlebih dahulu. Tapi ada pula yang kata lawatan ke Mesir atau Jordan itu adalah sebahagian dari ibadah kerana Allah telah berfirman yang maksudnya lebih kurang ialah "..mengembara diatas muka bumi ini melihat balasan yang Allah telah timpakan ke atas ummah yang terdahulu..". Ada pakej agensi umrah yang menggunakan ayat Quran ini untuk 'justify' kenapa bagusnya ambil pakej 'umrah ziarah' (melawat ke Mesir dan Jordan dulu sebelum pegi umrah).

Tapi niat masing-masinglah, kan. Macam aku ni, susah payah kumpul duit untuk pergi umrah jadi niat aku tak lari dari hanya untuk tunaikan kewajipan agama dan buat ibadat.

2. Persediaan ilmu

Memang kena belajar tentang umrah. Ikutilah kursus haji atau umrah. At least paling kurang belilah buku-buku panduan tentang umrah. Kena tahu rukun-rukun umrah dan syarat sah umrah. Ada perkara yang wajib dilakukan, dan ada yang sunat sahaja. Apa pula yang membatalkan umrah. Contohnya, saie ialah wajib, tapi panjat Jabal Uhud tak buat pun tak apa. Yang ini, kenalah pergi kursus umrah, atau kursus haji. Aku dan isteri pergi kursus haji sudah dua kali walaupun turn pergi haji (tahun 2023) belum sampai. Saja nak ambil ilmu dan nak kekalkan keterujaan pergi haji. Jadi dari kursus haji ni memang banyak ilmu kami dapati tentang ibadat umrah.

Tanya pengalaman kawan-kawan

Tanya juga pada kawan-kawan yang pernah pergi haji atau umrah. Cedok pengalaman mereka. Buku-buku adalah ilmu tambahan sahaja. Kursus haji atau umrah banyak membantu. Tapi kawan-kawan yang pernah pergi tu lagilah dapat memberi gambaran 'first hand' tentang selok-belok dan payah-jerih melakukan umrah. Memang bila dah sampai di Madinah dan Makkah, cerita kawan-kawan ni memang sungguh membantu dan panduan yang mereka berikan tu tak boleh kita jumpa dalam buku.

Baca travelog umrah

Ini pun banyak membantu. Sungguh banyak blog peribadi yang menceritakan pengalaman mereka pergi umrah dan haji. Gaya penceritaan masing-masing tapi semuanya adalah pengalaman sendiri semasa berada di sana. Bagus untuk baca sebab banyak juga membantu. Tu sebab bila balik dari umrah aku pun buka blog ni, sekadar nak tambahkan lagi bahan bacaan untuk bakal-bakal pengunjung umrah.

3. Persediaan fizikal tubuh badan

Rata-rata ceramah tentang umrah beritahu yang keadaan fizikal yang sihat adalah penting kalau nak pergi tunaikan umrah ni. Ibadah umrah memang perlukan badan yang sihat dan kekuatan jasmani. Tapi tidaklah bermakna mesti jadi betul-betul kuat seperti ahli sukan. Maksud kekuatan jasmani di sini ialah kebolehan bergerak dari sana ke sini tanpa halangan fizikal.

Jemaah bergerak ke sana ke mari mengikut jadual dan bukan bersantai. Jadi kalau sakit, tangguhkan dululah untuk pergi umrah. Tunggu sihat dululah. Kalau pergi melancong dengan family, bolehlah kita bergerak dengan halaju sendiri tanpa peduli apa orang lain buat.

Tapi keadaan fizikal ni bukanlah syarat wajib untuk pergi umrah. Masa aku di Madinah dan Makkah, ramai yang aku lihat gunakan kerusi roda, atau yang dipapah ke sana-sini. Yang pergi umrah tu aku lihat dari umur bayi sehinggalah umur tua bangka bongkok tiga.

4. Persediaan kelengkapan material

Yang ini tak perlu pikir jauh sangat. Ikut saja saranan agansi umrah. Semua agensi umrah akan senaraikan apa yang perlu dibawa. Khas untuk umrah aku melalui pakej Andalusia Travels ni boleh tengok sini.

Apa perlu bawa masa umrah

Agensi Andalusia dan mungkin semua agensi umrah lain memberi senarai item yang perlu dibawa. Antaranya ialah:

  • pakaian ihram (2)
  • tali pinggang
  • dua helai baju biasa
  • dua helai baju Melayu
  • empat singlet berlengan (t-shirt sebenarnya)
  • dua helai seluar panjang
  • tiga helai kain pelikat
  • dua helai tuala mandi
  • sehelai tuala kecil
  • dua pasang setokin
  • selipar getah
  • kasut biasa (kasut jalan-jalan)

Untuk kaum wanita pula kena bawa:

  • dua telekong
  • dua mini telekong
  • tiga pasang baju kurung
  • dua maxi
  • dua pasang baju tidur
  • tiga pasang setokin
  • sarung tangan
  • dua helai tuala mandi
  • tuala kecil
  • selipar getah
  • kasut biasa (kasut jalan)

Item lain yang disarankan untuk dibawa ialah

  • buku doa (pakej umrah beri percuma)
  • penyangkut baju (memang berguna)
  • gunting kecil (perlu)
  • toiletries (ubat gigi, berus gigi, dll)
  • sabun mandi
  • uncang kasut

Perlukah bawa semua ni?

Setakat 11 hari kami di sana, singlet berlengan tu (warna putih) aku pakai sekali sahaja iaitu selepas aku habis umrah ketiga. Masa di Marwah lepas selesai tahalul (bercukur), aku pakai singlet tu untuk gantikan kain ihram bahagian atas. Pertama sebab aku dah lenjun berpeluh jadi tak selesa. Keduanya kebetulan habis tahalul tu aku nak pi solat Zohor. Tak selesa menunggu solat dan solat dengan 'selimut'. Ketiganya sebab aku tak nak masa aku naik lif, semua orang tutup idung. Bayangkanlah, di tengah panas terik di jalan raya korang pakai selimut tebal. Kain ihram tu memang macam selimut tebal jugaklah. Sebijik sama macam tuala mandi tebal. Selain dari tu, aku tak nampak waktu mana yang praktikalnya pakai singlet ni (t-shirt sebenarnya). Tak ada pun takpa. Kasut biasa tu tak bawak pun takpa. Setakat panjat Jabal Uhud tu pakai capal atau selipar pun boleh. Selipar buatan Arab ni nampak lasak, dan memang lasak pun. Aku pakai selipar tu je sepanjang masa. Wife aku ada sediakan beberapa t-shirt. Tapi aku tak pakai satu pun. Jadi pakaian ni tak bawak pun takpa sebenarnya.

Inilah 'singlet' yang disenaraikan oleh Andalusia. Actually, bukan singlet, tapi t-shirt. Ada poket berzip di dada. Semua warna putih.

Botol penyembur air sembahyang

Bawa botol penyembur air (untuk air sembahyang). Botol khas ni ada dijual di Andalusia. Penyembur air ni gunanya untuk ambil air sembahyang dalam kapal terbang. Di label botol tu ada ditulis sekali hukum 'boleh guna semburan air' tu untuk ganti air sembahyang. Lepas tu ada kaedah-kaedah dia sekali.

Masa kami terbang dari KLIA ke Jeddah, kami terpaksa sembahyang Zohor dan Asar dalam kapal terbang. Memang tak sempat sembahyang di airport punya sebab time kami landing tu dah masuk waktu Maghrib. Dalam toilet kapal terbang memang susah ambil air sembahyang. Jadi botol penyembur air sembahyang tu memang come in handy.

Masa terbang balik dari Jeddah ke KLIA, aku tak bawak penyembur air tu, sebab wife aku dah kurangkan 'bebanan tambahan' dalam beg sebab nak diisikan dengan 'item-item cenderamata'. So aku ambil air sembahyang dalam toilet. Tudia, keciknya singki. Terpaksa aku jadi macam orang sarkis buat akrobat untuk basuh kaki dalam singki. Dah ler pakai jubah. Masa tu lantai kering lagi. Lepas tu aku sembahyanglah di tempat duduk. Buat jamak dan qasar.

Agaknya lepas tu ramai yang buat perangai macam aku (ambil air sembahyang di toilet), then aku dengar announcement dari crew kapal terbang di through speaker. Dalam bahasa Melayu maksudnya lebih kurang, "diharap para penumpang jangan mengambil air sembahyang dalam tandas kerana air boleh menjejaskan sistem elektrik pesawat." Lepas tu aku dengar ada dua orang lelaki bersembang dekat tempat aku duduk masa depa tunggu turn nak masuk toilet, "..apalah diaorang ni. Jangan ler ambil air sembahyang dalam tandas.." lepas tu ada lagilah sambungan bebelan dia, aku tak ingat.

Apa Aku Pakai Di Makkah dan Madinah

Di Madinah dan Makkah aku gunakan jubah dengan seluar atau kain time ke masjid malah time keluar makan atau membeli belah. Kasut aku simpan. Aku guna selipar je. Aku beli selipar di Madinah. Nampak lebih tahan dan lasak. Aku pakai lagi sampai sekarang buat kenangan. Malam aku tido guna baju sejuk. Aku bawa dua helai.

Dalam erti kata lain, ada baju yang dibawa yang aku tak sentuh langsung. Jadi baju-baju ni tak perlu bawa pun. Tapi biasalah, kan. Masa pack barang nak pergi tu, macam nak duduk sebulan di Makkah, haha. Sebenarnya, tak perlu ikut sangat list baju/pakaian yang pakej umrah sediakan tu.

Spec hitam

Bawa spec hitam. Ini penting. Sinar mentari di sana sangat terik sampai menyakitkan mata. Masa tawaf aku pakai spec hitam. Ini normal. Orang lain pun buat macam tu. Aku beli spec hitam macam ray-ban di kedai hardware di Malaysia. Harga: RM10 je. Di Madinah pun banyak.

Handphone

Jangan lupa bawa handphone (dan charger). Tak bawa memang menyesal. Komunikasi adalah penting terutama kalau pergi dalam kumpulan atau bawa family. Bila sampai sana, beli prepaid Arab Saudi.

Towel

Tiada towel di hotel kami di Madinah. Nasib baik bawa towel sendiri. Di hotel Makkah, ada pulak. Satu towel pun cukup. Bawa towel yang nipis.

Servis Dobi

Servis dobi disediakan di hotel. Jadi tak ada masalah nak basuh baju. Di Makkah aku hantar dobi untuk cuci kain umrah. Sepuluh Riyal. Tapi baju lain termasuk jubah aku tu aku basuh waktu pagi, gantung dengan hanger kat bilik. Petang nanti kering ler. Jangan lupa, kadar kelembapan (humidity) di Tanah Arab adalah rendah (wap air kurang dalam udara). Kadar sejatan pula tinggi. Jadi pakaian senang kering. Tak perlu sidai di luar. Dalam bilik hotel pun cukup. Sungguh, tak tipu.

Ubat-ubatan

Bawalah ubat masing-masing, macam panadol, minyak cap kapak, ubat sakit tekak, krim kaki, gloss bibir. Kat sana, sakit tekak semacam suatu kemestian. Sana banyak habuk, terutama di Makkah yang banyak sangat construction sana sini. Cuaca pulak sangat panas hingga cecah 41 darjah (time kami pi sana bulan Mei-Jun). Selsema pun perkara biasa. Kulit kaki pecah-pecah tu biasalah. Jadi krim kaki tu penting jugak. Di sana ada farmasi. Tapi aku ada dengar yang ubat sana lain sikit dengan ubat kita. Jadi supaya tiada komplikasi, elok ler bawak ubat dari Malaysia. Lagi pun ubat-ubat ni bukan makan space pun dalam beg tu.

Uncang kasut

Nama dia uncang kasut. Boleh juga disebut karung kasut. Travel agency ada jual uncang ni. Guna dia ialah untuk simpan kasut masa masuk masjid, dan bawa uncang tu ke dalam masjid.

Banyak bagusnya bawa uncang kasut ni.

  • Pertama: tak payah susah hati kalau-kalau kasut hilang. Dalam ribuan jemaah pada setiap kali solat tu memang ada kecenderungan untuk hilang kasut. Memang banyak kali aku tengok orang hilang kasut. Mungkin dicuri, mungkin orang tersalah ambil, mungkin tersalah letak.
  • Kedua: kadang-kadang kita masuk masjid ikut pintu lain, lepas tu kita jalan-jalan sana sini dalam masjid dan kita keluar ikut pintu lain. Jadi bila kita bawa kasut dalam uncang kasut, takde masalah untuk kita cari balik pintu mana kita masuk tadi. Al-maklum, Masjid Nabawi dan Masjidil Haram ni besar dan luas, dan pintu masjid memang banyak. Banyak sangat. Kadang-kadang kita lupa kita masuk ikut mana tadi. Masjidil Haram sekarang ada 139 pintu masuk. Mungkin masa time you all pergi haji atau umrah nanti jumlah pintu ni bertambah. Masjid Nabawi pula kalau tak silap ada 95 tempat masuk.

Gunting

Secara kebetulan aku dulu bawak gunting kecil. Tak ada dalam senarai yang disarankan oleh agensi umrah pun. Tapi gunting ni sebenarnya penting juga iaitu semasa nak bercukur di Marwah (selepas tujuh pusingan saie) untuk mencapai tahalul yang menandakan lengkapnya ibadat umrah.

Tukar duit Riyal

Ini ialah persediaan tambahan. Takda pun tak apa. Tapi sebelum pergi, kawan-kawan ada pesan supaya tukar siap-siap duit riyal. Just in case. Aku tukar duit riyal sebanyak 2500 riyal (SAR - Saudi Arabia Riyal). SAR100 lebih kurang RM80. Kalau duit Malaysia RM100 pulak lebih kurang SAR125. Duit kita lagi mahal dari duit riyal Arab.

Masa departure di KLIA, ada sedara-mara yang bagi duit riyal. Beratus-ratus jugaklah dapat. Tak sangkalah pulak. Di KLIA memang ada pengurup wang. Di airport Jeddah pun ada. Tapi masa dah sampai di airport memang kita sibuk sana-sini. Jadi eloklah tukar siap-siap sebelum berangkat.

Di Madinah dan Makkah memang banyak pengurup wang. Tapi panjang nak beratur. Masa ada di Makkah, sebab emergency (wife aku nak shopping extra) aku tukar duit riyal di kaunter hotel. Tapi depa charge lebih sikit. Maksudnya, bagi RM tapi dapat kurang sikit duit riyal. Of course depa mark-up harga.

Seperti yang aku cerita masa aku landing di Jeddah, sampai je ke sana memang dah kena guna duit riyal. Aku bayar upah orang yang tolak troli, lepas tu aku beli starter-pac prepaid Arab Saudi. Semuanya berlaku di airport Jeddah. So nasihat aku, eloklah sediakan duit riyal siap-siap.

Sekarang ni, dah jadi kebiasaan pulak, bila ada kawan-kawan atau sedara-mara yang nak pergi umrah, aku bagi hadiah duit riyal, 50 atau 100.

Cari Pakej umrah

Tips Memilih Pakej Umrah

Oleh sebab aku dah pernah pergi dengan pakej umrah ni, jadi aku nak bagi tips sikitlah, sebagai panduan dan pedoman dalam mencari pakej umrah ni. Tapi ni adalah pandangan kami yang datang dari keluarga yang sederhana mampu. Kami hanya pakai kereta proton waja. Kalau banyak duit, memang boleh guna pakej yang very the high class. Oklah untuk orang yang satu kategori macam aku ni, at least ada sedozen perkara yang perlu diperhatikan.

  1. Tengok harga pakej yang ditawarkan. Buat perbandingan harga dengan pakej servis yang ditawarkan. Kalau bawah RM5000 tu memang murah. Tapi bila murah ni, ada benda lain yang tak cover bila dah sampai di Arab Saudi nanti. Tanya betul-betul harga pakej tu termasuk apa dan tak termasuk apa. Jangan nanti harga pakej murah tapi di Makkah nanti makan sendiri-sendiri. Satu lagi, kebanyakan harga berbeza-beza mengikut musim dan jenis pakej. Jadi jangan bergaduh dengan agensi pulak. Pakej di bulan Ramadan memang mahal. Jika nampak iklan pakej umrah, pastikan iklan tersebut ada nombor rujukan kelulusan dari Kementerian Pelancongan Malaysia.
  2. Kaji sikit latar belakang travel agency yang offer pakej umrah ni. Agensi pakej umrah mesti ada lesen dan permit untuk 'outbound' (membawa jemaah keluar negara) yang sah atau hanya ada permit untuk 'inbound' (aktiviti pelancongan dalam negara) sahaja. Agensi umrah patut uruskan sendiri hal-hal berkaitan visa dan bukan menggunakan agen atau orang tengah untuk uruskan visa ni. Kalau nak tau agensi ni OK atau tidak dari segi pengurusan visa tu, cuba call pejabat mereka. Kalau agensi ni OK, sesiapa sahaja yang angkat telefon tu boleh jawab tentang semua hal. Tapi kalau yang angkat telefon tu tak boleh jawab pasal visa ni, dan suruh tunggu pulak untuk dia tanya bos dia, tu tanda bahaya tu. Carilah agensi lagi. Wassalam..
  3. Jangan teruja sangat dengan benda-benda 'free' yang pakej umrah bagi. Beg besar, beg kecil, beg sandang tu semua standard, semua pakej umrah bagi, malah sebenarnya bukan 'free' pun tapi dah memang masuk dalam harga yang kita bayar. Air zam-zam 10 liter tu pun semua pakej umrah bagi. Benda-benda free ni bukan penentu agensi tu bagus atau tidak.
  4. Berapa jumlah hari yang ditawarkan oleh pakej ni. Kalau yang standard tu ialah 10 hari at least pada harga sekitar RM6000. Tak semua pakej ni sama jumlah harinya. Harga pakej juga berbeza-beza bergantung kepada jumlah hari yang ditawarkan.
  5. Ketahui hotel mana yang dijanjikan. Tak semua hotel sama. Ada yang dekat, ada yang jauh. Ada yang terletak satu km dari masjid. Ada yang keluar je dari lobi hotel terus nampak masjid (seperti hotel di bangunan Safwan depan Masjidil Haram.) Hati-hati dengan janji yang diberikan. Kadang-kadang dijanjian hotel depan masjid tapi bila pergi sana mulalah keluar macam-macam masalah planet bumi ni dan hotel yang dijanjikan tu tak dapat sebab penuh dah sebagainya.
  6. Harga pakej tu untuk berapa orang sebilik dalam satu bilik hotel. Adakah untuk seorang, dua orang atau tiga orang. Sepatutnya, harga pakej untuk dua orang sebilik mahal sedikit dari harga pakej tiga orang sebilik. Kalau yang pegi dengan famili tu, tak kan sama harga pakej enam orang sebilik dengan pakej dua orang sebilik.
  7. Bagaimana bayaran kepada agensi tu dibuat. Sepatutnya bayaran adalah terus kepada akaun syarikat dan bukan kepada akaun persendirian, akaun pengurus agensi atau kepada akaun agen-agen yang dilantik oleh agensi. Kalau bayaran beribu-ribu tu dibuat ke dalam akaun persendirian, tu tanda ada masalah tu. Bila telah membuat bayaran, pastikan dapat resit pembayaran. Adakah terdapat bayaran-bayaran tambahan yang lain. Ada tak bayaran tambahan masa di Tanah Arab nanti? Kena tanya habis-habis bab ni.
  8. Syarikat penerbangan mana yang ditawarkan. MAS dan Saudi Airlines adalah yang established. Airlines ni terbang terus ke Jeddah tanpa transit. Kalau nasib baik time booking, ada yang terbang terus ke Madinah. Pakistan Airlines memang murah, tapi siaplah, dia akan transit sana sini, pegi Dubai dululah, singgah Karachi dululah. Kalau naik Saudi Airlines, flight attendance akan baca doa masa plane mula terbang. Kan best. Rasa tenteram jiwa.
  9. Servis mutawif pulak macam mana. Kalau boleh biar dapat mutawif Melayu. Dia akan ikut terbang dari KLIA dan balik pun sama juga. Tapi kalau mutawif Indonesia, mereka akan tunggu di sana. Macam Andalusia Travels, mutawif depa ramai sangat orang Indonesia dan students yang sedang belajar di sana. Bila dah masuk hotel di Madinah barulah jumpa mutawif tu. Cakap pulak telo Indon. Rasa macam pergi Jakarta pulak. Masa balik pulak, mutawif Indon tu hantar sampai kaunter check in sahaja, sebab mereka kena balik ke Makkah semula.
  10. Berapa kali trip umrah (miqat-tawaf-saie) yang dibuat nanti. Andalusia Travels sediakan tiga kali umrah. Satu umrah wajib, dua lagi umrah sunat. Ni best. kalau rosak umrah pertama (tanpa kita sedari) ada dua lagi umrah untuk cover. Kalau umrah pertama tu sempurna, dua lagi umrah tadi jadi umrah sunat. Dari sembang-sembang sesama jemaah di Makkah, ada pakej umrah yang uruskan satu umrah sahaja. Ada kenalan jemaah umrah cerita, mutawif pakej dia hanya uruskan umrah wajib saja. Tapi bila nak buat umrah sunat, mutawif tu tolong carikan van, lepas tu kena bayar sendiri dan pergi sendiri ke Tanaim atau Jaqrana untuk miqat. Mutawif tadi balik rehat kat bilik dia. Jemaah umrah tadi pandai-pandai sendirilah buat kembara miqat. Nasib baik tak kena jual ke ladang unta. Tapi tu bukan mutawif Andalusia. Mutawif Andalusia ikut sama ke semua tempat, ikut sama naik van, ikut sama naik bas, cuma naik unta saja tak ikut sama.
  11. Check senarai aturcara. Tengok ke mana tempat-tempat lawatan yang disediakan. Adakah bila pergi lawatan nanti bayar lagi, atau bayaran dah termasuk dalam harga pakej. Adakah pengangkutan kena uruskan sendiri dan bayar sendiri atau macam mana. Biar gaduh di Malaysia dulu, jangan gaduh di Arab Saudi depan drebar bas. Aturcara lawatan yang standard ialah melawat ke Masjid Quba, Jabal Uhud, ladang kurma, dladang unta. Ziarah Wida' dan Tawaf Wida' sepatutnya ada dalam aturcara.
  12. Ada kursus umrah ke tak. Ini sebelum bertolak. Kursus ni lebih penting sebab tanpa ilmu yang cukup, silap-silap haribulan umrah jadi tak sah. Tak sempurna takpa lagi, tapi janganlah sampai tak sah. Kalau dah regular pergi umrah, oklah. Kalau yang baru first time pergi, memang kena ada bimbingan. Jangan lebih banyak dapat penerangan tentang lawatan sana sini tapi kursus umrah langsung tak ada.

Agensi yang berdaftar dan yang bermasalah

Agensi pelancongan (travel agency) yang menguruskan umrah ni memang banyak. Semuanya adalah entiti berasaskan perniagaan. Mana ada agensi umrah yang berasaskan kebajikan. Bila namanya business, maka adalah yang nakal dan menipu. Berita jemaah umrah atau haji yang ditipu oleh agensi ni selalu sangat kita baca di akhbar.

Agensi yang pernah bermasalah

Berikut ialah senarai nama agensi pengelola umrah/haji yang bermasalah, bersama jumlah tuntutan yang telah difailkan dari tahun 2005 sehingga 30 April 2011. Sumber : Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia.

  1. Qaisar Travel & Tours Sdn. Bhd. (103 tuntutan)
  2. Al-Kahfi Travel & Tours Sdn. Bhd. (81 tuntutan)
  3. Hijjaz Legend Travel & Tours Sdn. Bhd. (64 tuntutan)
  4. Warith NY Travel & Tours Sdn. Bhd. (50 tuntutan)
  5. Permata El Nur Travel & Tours Sdn. Bhd. (22 tuntutan)
  6. Mat Sarawak Travel & Tours Sdn. Bhd. (20 tuntutan)
  7. Anjung Warith Holidays Sdn. Bhd. (18 tuntutan)
  8. Jaznal Travel Group Sdn. Bhd. (14 tuntutan)
  9. Tijaratun Nur Travel & Tours Sdn. Bhd. (13 tuntutan)
  10. Bahrulmazi Travel And Tours Sdn. Bhd. (12 tuntutan)

Agensi yang berdaftar dengan Kedutaan Arab Saudi

Berikut ialah agensi pengelola umrah yang berdaftar dengan Kedutaan Arab Saudi. Sumber: Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR). http://www.jawhar.gov.my

  • YHA Travel & Tours Sdn Bhd, Ampang
  • Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Taman Maluri, Kuala Lumpur
  • Best Star Travel Centre Sdn Bhd, Putrajaya
  • De Mawardah Travel & Tours Sdn Bhd, Kuala Lumpur
  • Wan Travel Sdn Bhd, Kucing, Sarawak
  • Rayhar Travel Sdn Bhd, Kuala Lumpur
  • Elaf Shahidah Travel Sdn Bhd, Kuala Lumpur
  • Falcon Travel & Tours Sdn Bhd, Kuala Lumpur
  • Plantium Gesture Travel & Tours Sdn Bhd, Kuala Lumpur
  • UMH Travel & Services Sdn Bhd, Jalan Gombak, Kuala Lumpur
  • Zahafiz Travel & Tours Sdn Bhd, Shah Alam
  • Cantumas Travel & Tours Sdn Bhd, Kuala Lumpur
  • TH (Tabung Haji) Travel & Services Sdn Bhd, Kuala Lumpur
  • Rakyat Travel Sdn Bhd, Kuala Lumpur
  • KAA Travel & Tours Sdn Bhd, Kuala Lumpur
  • Syarikat Pelancungan Yasskin Sdn Bhd, Kota Bharu, Kelantan

Approved Umrah Travel Agents: Malaysia

Ni pula dari website Arab Saudi. Boleh check sendiri di sini.
  • Al-Nile Tour & Travel Sdn Bhd
  • Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd
  • Ash-Har Travel & Tours Sdn Bhd
  • Batuta Travel & Tours Sdn Bhd
  • Beststar Travel Centre Sdn Bhd
  • Cantumas Travel & Tours Sdn Bhd
  • Citra Travel & Tours Sdn Bhd
  • De Mawardah Travel & Tours Sdn Bhd
  • Falcon Travel & Tours Sdn Bhd
  • FB Travels Sdn Bhd
  • Festive Travels Sdn Bhd
  • Gemilang Travel and Tours Sdn Bhd
  • KAA Travel & Tours Sdn Bhd
  • KSB Travel & Tours Sdn Bhd
  • Muhammadiyah Travel & Tours Sdn Bhd
  • Rakyat Travel Sdn Bhd
  • Rayhar Travels Sdn Bhd
  • Sila Tour & Travel Sdn Bhd
  • Syarikat Pelancungan Yaskin Sdn Bhd
  • TH Travel & Services Sdn Bhd
  • Tiram Travel Sdn Bhd
  • Triway Omega Travel & Tours Sdn Bhd
  • Umrahaj TRavel & Services Sdn Bhd
  • Uni-Travel Sdn Bhd
  • Wan Travel Sdn Bhd
  • Wira Saujana Travel & Tours Sdn Bhd
  • Zahafiz Travel & Tours Sdn Bhd

Nak pergi umrah pun kena tipu..

Dulu ada umrah MLM. Harga pakej umrah ni RM1700 je. Very the murah. Tapi kena bawa 7 orang lagi (downliner). Ramai yang tertipu.

Yang ni pula berlaku di Terengganu. Kejadian tahun 2009 dulu. Dua lelaki tersebut dituduh melesapkan RM192,500 milik orang yang berhasrat nak pergi umrah. Tak tau ending dia macam mana.

Foto atas. Beg besar beg kecil semua dah dapat. RM51,000 dah bayar. Dua tahun dah tunggu. Tapi 12 adik beradik masih gagal pergi umrah. Ni kejadian tahun 2009. Pembongkaran berlaku pada tahun 2011. Agensi umrah tersebut dimiliki oleh kumpulan nasyid terkenal. Lepas kes ni mereka jadi lebih terkenal. Salah seorang anggota mereka berkahwin dengan bekas tunang Mawi. Agensi ni ada tersenarai dalam 10 agensi bermasalah di atas tu.

Updated 17/5/13

Mutawif

Mutawif ialah 'pemandu'. Tapi aku nampak dia lebih macam 'ketua rombongan'. Setiap kumpulan jemaah (biasanya satu bas) akan dipimpin oleh seorang mutawif. Pakej Andalusia yang bertolak sama dengan aku ada tiga bas, bermakna ada tiga mutawif. Mutawif kami ialah Ustaz Shauki. Orang Malaysia, 28 tahun. Foto bawah ni dia tu lah. Terambil gambar dia secara tak sengaja. Asalnya nak ambil gambar hotel.

Masa dah sampai di Madinah, aku perhatikan kumpulan jemaah melalui Andalusia ni ada tiga-empat kelompok. Setiap kelompok di bawah seorang mutawif. Tapi dalam ramai-ramai mutawif tu, hanya mutawif kumpulan kami orang Malaysia. Mutawif lain ialah orang Indonesia.

Alhamdulillah aku lega dapat mutawif Malaysia. Pertamanya mutawif ni terbang sama dengan kami dari KLIA dan balik pun sama satu kapal terbang. Mutawif Indon yang lain tunggu di Madinah. Masa kami departure di Jeddah, hanya mutawif warganegara Malaysia yang boleh masuk bersama-sama jemaah lain dengan boarding pass. Mutawif Indon yang lain tak dapat bersama-sama dengan kelompoknya dalam airport. Mereka tunggu setakat di tempat menunggu sebelum check-in.

Tapi aku pelik kenapa Andalusia ni ramai sangat mutawif Indon. Mungkin kebetulan kumpulan mutawif Indon tu ramai masa trip kami ke sana. Tak pastilah pulak. Tapi aku rasa mutawif Indon ni tak best. Bagi ceramah pun guna slang Indon. Ganjil benar bunyinya. Lawak pun tak menjadi. Macam Maharaja Lawak Bandung Jokers. Buat lawak orang tak faham. Andalusia macam ketandusan manusia. Mungkin Mutawif Indon ni murah kot.

Aku rasa majoriti mutawif Andalusia ni berumur awal 20an. Mereka ni mungkin students universiti. Ada sekali tu masa tengah tunggu nak naik lif, ada tiga orang jemaah sembang-sembang pasal mutawif mereka. Seorang tu kata, "..ah, adik aku tu, baru berapa umur dia." Lepas tu dia cakap pada kawan dia yang agak berumur, "ha.. kalau abang, tu dah macam anak abang tu..". Nada mereka bercakap macam agak memandang rendah pada mutawif ni sebab umur dia. Tapi betul pun. Mutawif Indon ni tak ada seorang pun yang berusia. Semua macam baru lepas grad.

Yang ni aku bagi minus point pada Andalusia.

Mutawif pemimpin kumpulan

Sepanjang kembara kami di Arab Saudi, kami ditemani atau dibimbingi oleh mutawif kami, Ustaz Shauki. Aku suka dia ni. Muka jernih, humble, elok tutur bahasa, ada ilmu (bab-bab umrah), senang berbicara, segera membantu.

Bila naik bas, mutawif akan pegang mic. Dia akan beri penerangan tentang ke mana kami akan pergi. Lepas tu dia akan ceritalah serba sedikit tentang kisah-kisah di sebalik bangunan-bangunan dan tempat-tempat bersejarah yang kami lalui. Dia bacakan doa perjalanan. Malah dia bacakan semua doa yang sepatutnya kami baca (seperti doa bila mula masuk Madinah, dan doa bila mula nampak kota Makkah). So kami ikut je beramai-ramai.

Masa umrah, dia lead the way. Dia beri semua penerangan di semua check-point. Lepas itu kami follow je dia. Dia baca doa kuat-kuat dan kami ikut. Dia buat macam tu dari mula sampai habis ketiga-tiga umrah kami. Yang kami buat sendiri tanpa dia hanyalah Tawaf Wida (tawaf selamat tinggal). Sebabnya yang ni memang kena buat ikut tempo masing-masing.

Aku ada dengar, ada mutawif lain yang tak begitu membimbing, tapi lebih banyak lepas tangan. Mereka akan sekadar bertanya "dah umrah dah?" Tapi yang pasti itu bukan dari syarikat Andalusia. Syarikat apa aku tak pasti.

Tanpa ustaz Shauki ni, orang yang macam aku yang cetek ilmu dan takde pengalaman ni akan lost di Tanah Arab. Confirm punya. Hanya Allah SWT sahajalah yang membalas segala usaha murni dia tu. Amin.

Kursus Umrah

Syarikat Andalusia menyediakan kursus umrah percuma untuk peserta pakej ini. Kursus-kursus percuma ini diadakan di pejabat Andalusia di Kampung Pandan. Tapi kami tak pergi kursus ini sebab tak sempat. Sebab lain ialah kami sudah dua kali pergi kursus haji yang diadakan di masjid berhampiran rumah kami. Masa pergi kursus haji tu kami beli buku panduan haji dan umrah. Jadi kami gunakan buku tersebut sebagai panduan.

Tapi bukanlah menjadi masalah besar kalau tak pergi kursus ini. Ini kerana ada mutawif yang membimbing jemaah umrah pada sepanjang masa jemaah berada di Madinah dan Makkah. Dalam erti kata lain, kalau tak tau apa-apa langsung pasal umrah pun tak jadi masalah kerana mutawif ada untuk membantu dan membimbing.

Kenali Arab Saudi

Apa yang kita tahu tentang Arab Saudi. Arab Saudi ialah tempat lahirnya Islam. Ada dua kota suci di Arab Saudi iaitu kota Makkah al-Mukarramah dan kota Madinah al-Munawarah. Dua masjid paling mulia dalam dunia Islam ada di Tanah Arab iaitu Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah. Di Tanah Arab jugalah terletaknya Kaabah. Tempat pertemuan pertama Nabi Adam dan Hawa selepas turun ke dunia juga di Tanah Arab, iaitu di puncak bukit Rahmah (Jabal Rahmah). Telaga Zam-zam hanya ada di Arab Saudi. Ada orang kata makam Hawa ada di Jeddah.

Geografi

Nama rasmi Tanah Arab ialah Kingdom of Saudi Arabia (al-Mamlakah al-‘Arabīyah as-Su‘ūdīyah). Arab Saudi ialah negara terbesar di Asia Barat, dan negara Arab kedua terbesar selepas Algeria, dan negara ke-13 terbesar di dunia (Malaysia negara ke-67).

Sempadan dan Negara Jiran

Arab Saudi bersempadan dengan Jordan dan Iraq di utara, Kuwait, Qatar dan Bahrain di barat laut, United Arab Emirates (UAE) di timur, Oman di tenggara, dan Yemen di selatan. Bermakna Arab Saudi ada lapan jiran tetangga. Laut Merah terletak di barat dan Teluk Parsi terletak di timur.

Keluasan

Arab Saudi berkeluasan 2,250,000 km persegi. Tiada sebatang sungai pun di Arab Saudi. Tasik pun tak ada. Tapi ada banyak wadi (sungai kering). Sumber air paip adalah dari air laut. Arab Saudi ialah pengeluar air disalinasi (air laut yang diproses jadi air tawar) terbesar di dunia. Puncak tertinggi ialah Gunung Sawda (3133 meter) iaitu puncak yang ke-61 tertinggi di dunia (Gunung Kinabalu, 4100m ialah yang ke-41 tertinggi di dunia). Di bahagian selatan Arab Saudi terletak kawasan kosong yang dinamakan Rub Al-Khali. Memang kosong betul. Hanya ada pasir. Merupakan padang pasir terbesar di dunia. Kawasan ini adalah lima kali ganda keluasan England. Kawasan ini pernah tidak menerima hujan selama sepuluh tahun. Purata hujan di Arab Saudi ialah setahun sekali. Purata suhu ialah 45 darjah tapi pada musim panas boleh mencecah 54 darjah. Pada musim sejuk, suhu boleh jatuh di bawah paras beku.

Agama Negara

100% penduduk Arab beragama Islam. Hukum al-Quran menjadi undang-undang negara. Hudud dilaksanakan. Dalam tempoh 10 tahun, hanya ada 11 kes hudud potong tangan bagi pesalah yang mencuri.

Bendera Rasmi

Bendera Arab Saudi berwarna hijau dengan kalimah syahadah berwarna putih. Simbol pedang dimasukkan pada tahun 1906.

Zon Waktu

Zon waktu Arab Saudi ialah GMT+3. Zon waktu Malaysia ialah GMT+8. Beza masa ialah lima jam. Maknanya, masa 6 petang di Malaysia ialah pukul 1 petang di Arab Saudi. Malaysia lebih awal nampak matahari dari Arab Saudi.

Penduduk

Anggaran penduduk Arab ialah seramai 27 juta orang. Sejuta kurang dari Malaysia. Dari jumlah ni, 9 juta ialah profesional dari negara luar yang berdaftar (expatriates), 2 juta pendatang haram, dan selebihnya 16 juta orang Arab. Bumi Arab memang luas. Namun kepadatan penduduk mereka ialah 12 orang setiap km persegi. Pada tahun 1950, Arab Saudi ada 3 juta penduduk sahaja. Bangsa asing yang paling ramai di Arab Saudi ialah orang India (1.3 juta) diikuti dengan orang Pakistan, orang Mesir, orang Yaman, Bangla, Filipino, Jordan, Indonesia, Sri Lanka, Sudan, Syria dan Turki.

Asal Usul Nama Arab

Dulu negara Arab ni hanya dikenali sebagai Tanah Arab. Kerajaan Arab Saudi yang ada sekarang ini secara rasminya diasaskan oleh Abdul-Aziz bin Saud (Ibn Saud) pada 23 September 1932. Tapi kerajaan Arab Saudi ni sebenarnya telah dibentuk sejak tahun 1902 lagi apabila keluarga Saud ni menawan Riyadh. Sekarang, Arab Saudi ialah kerajaan monarki (beraja). Tiada parti politik di sana. Keluarga Saud akan perintah Arab Saudi sampai mati. Nama Arab Saudi itu diambil dari nama keluarga Saud. Raja Arab Saudi sekarang ialah Abdullah bin Abdul Aziz dan putera mahkotanya ialah Nayef bin Abdul Aziz.

Pengeluar Minyak

Arab Saudi ialah pengeluar minyak kedua terbesar di dunia, mempunyai simpanan minyak kedua terbesar di dunia, dan mempunyai bekalan gas asli keenam terbanyak di dunia. Industri minyak meliputi 90% dari hasil eksport mereka dan membentuk 70% dari pendapatan negara. Import utama Arab Saudi ialah senjata dan kenderaan.

Kerajaan Kebajikan

Kekayaan minyak mereka membolehkan Arab Saudi membina kerajaan kebajikan. Pendidikan di semua peringkat adalah percuma di Arab Saudi. Tiada cukai pendapatan di Arab Saudi. Betul. No income tax. Perubatan awam juga percuma.

Mata Wang

Mata wang Arab Saudi ialah Saudi Riyal. Kalau tukar RM100 dapatlah lebih kurang SR120. Kalau tukar SR100, dapat lebih kurang RM80. Maknanya, duit kita mahal sikit. Dominasi wang kertas Riyal ialah 1, 5, 10, 50, 100, dan 500. Wang syiling disebut Halalah (sen), dengan dominasi 5, 10, 25, 50 dan 100. Satu Riyal = 100 halalah.

Menara Jam Terbesar

Menara jam di Makkah (Abraj Al-Bait Towers atau Mecca Royal Hotel Clock Tower) ialah menara jam paling besar di dunia. Jam ini lebih besar dari jam di Istana Warsaw di Poland, jam Big Ben di London, atau Rajabai Clock Tower di Mumbai. Jam besar di Menara Zam-zam di tepi Masjidil Haram boleh dilihat dari jarak 8km. Di bangunan ini juga terletak hotel tertinggi di dunia dan di puncaknya, terbentuk binaan bulat sabit terbesar di dunia. Menara Abraj Al-Bait ialah menara kedua tertinggi di dunia selepas menara Burj Khalifa di Dubai.

Bandar Terbesar

Bandar terbesar di Arab Saudi ialah ibu negaranya iaitu Riyadh (6.5 juta penduduk), diikuti oleh Jeddah (3.9 juta), Makkah (1.8 juta) dan Madinah (1.6 juta).

Tahukah Anda?

  • Di Arab Saudi, air lebih mahal dari minyak!
  • Tiada sebatang sungai pun di Arab Saudi.
  • Wanita dilarang memandu. Satu-satunya negara di dunia yang guna undang-undang ini
  • Cuti bersalin untuk pekerja wanita di sektor awam ialah selama dua tahun!
  • Di Jeddah ada air pancut tertinggi di dunia.
  • Lapangan Terbang Raja Khaled di Riyadh ialah lapangan terbang terbesar di dunia.
  • Semasa waktu sembahyang, semua kedai ditutup.
  • Jam besar di Makkah ialah jam terbesar di dunia.

Tentang Umrah

Ustaz Md Daud Che' Ngah dalam buku panduan umrahnya ada sebut bahawa dalam sepanjang hidup manusia beragama Islam tidak akan lengkap rukunnya jika tidak menunaikan ibadah haji dan umrah.

Al-Quran Surah al-Baqarah ayat 196 menyebutkan bahawa
"Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah."

Pengertian Umrah

Umrah ialah mengunjungi Baitullahil-Haram dalam keadaan beribadah dengan mengerjakan tawaf, saie, dan bergunting (bercukur) pada bila-bila masa sahaja asalkan tidak dalam ihram haji.

Waktu buat umrah

Umrah boleh dilakukan bila-bila masa sahaja dalam setahun kecuali jika seseorang itu sedang buat ibadat haji.

Hukum Mengerjakan Umrah

Pendapat jumhur ulamak mengatakan bahawa umrah itu wajib dilakukan seumur hidup sekali. Ada hadis yang menyebutkan yang umrah dalam bulan Ramadan menyamai pahala ibadah haji. Ada satu lagi hadis yang mana Rasulullah s'a.w. bersabda yang haji dan umrah itu kedua-duanya fardhu, tidak mengapa mengerjakan yang mana dahulu.

Rukun Umrah

Rukun bermakna wajib buat. Kalau tak buat, tak sah ibadat tersebut. Rukun umrah ada lima dan lima-lima rukun ni wajib kena buat. Kalau tak buat salah satu rukun ni, maka umrah tu tak sah. Bak kata ustaz, hanya dapat exercise tapi tak dapat umrah. Kalau buat rukun tapi tak cukup syarat pun dikita tak sah umrah. Ini kerana, bila buat tak cukup syarat, maka tak sempurna rukun tu.

  1. Niat ihram umrah:
    Niat ihram umrah ini dilafazkan masa berada di miqat. Kena pakai ihram dulu sebelum berniat. Umrah aku dulu kami berniat di Bir Ali.

  2. Tawaf:
    Tawaf ialah mengelilingi kaabah mengikut arah lawan jam sebanyak tujuh kali. Kalau pusingannya kurang dari tujuh, maka tak dapat rukun tawaf tu, dah umrah jadi tak sah. Masa tawaf kena pakai ihram.

  3. Saie:
    Saie ialah berjalan ulang-alik sebanyak tujuh kali dari Safa ke Marwah. Bermula dari Safa pergi ke Marwah (1), patah balik ke Safa (2), pergi ke Marwah lagi (3), balik ke Safa semula (4), pergi balik ke Marwah (5), patah balik ke Safa (6), dan ke Marwah untuk kali terakhir (7). Bila cukup tujuh pusingan ni, selesailah saie tu.

  4. Bergunting atau bercukur:
    Bercukur rambut ni maksudnya potong rambut atau gunting rambut. Guna gunting saja. At least tiga helai rambut kena gunting. Gunting rambut ni dibuat di Marwah iaitu selepas selesai saie.

  5. Tertib:
    Tertib ni maksudnya rukun-rukun di atas tu kena dibuat ikut susunan, iaitu bermula dengan niat, lepas tu pergi tawaf, dah selesai tawaf pergi buat saie, dah habis saie terus bercukur. Selesai saja bercukur, maka jemaah umrah telah mencapai tahallul (sudah bebas dari pantang larang ihram yang 13 tu) dan umrahnya dianggap telah selesai.

Selesai umrah ni satu hal, sempurna umrah pulak satu hal yang lain. Walaupun umrah kita dah selesai,kita tak tahu umrah kita tu 'sempurna' atau tidak. Itu antara kita dengan Allah SWT sajalah.

Wajib Umrah

Wajib umrah ada dua. Wajib bermakna mesti buat. Kalau tak buat yang wajib ni, maka rukun umrah tak menjadi (tak sah). Bila rukun umrah tak sah, maka orang tu dikira tak buat umrah pun.

  1. Niat ihram di miqat
  2. Menjaga pantang larang ihram (yang 13 tu)

Sunat Umrah

Perkara-perkara sunat umrah ni tak buat tak apa, tak cacat pun umrah tu. Tapi kalau buat dapat pahala lebih.

Sunat-sunat sebelum ihram

  1. bersedekah sebelum pergi ke miqat
  2. kerat kuku
  3. andam (kemaskan) rambut, misai, janggut dan bulu ari-ari
  4. pakai ihram warna putih
  5. sembahyang sunah ihram (di hotel)

Sunat-sunat selepas pasang niat ihram

  1. baca talbiah selepas niat ihram sehingga start tawaf.
  2. berdoa di setiap lokasi umrah (ada doa tu dalam buku panduan umrah)
  3. kucup hajarul aswad atau kalau tak dapat, istilam (lambai-lambai tangan) sahaja pun mencukupi.
  4. sembahyang sunat di belakang makam Ibrahim selepas selesai tawaf tujuh kali.
  5. terus buat saie selepas tawaf.
  6. minum air zam-zam lepas selesai tawaf tujuh pusingan
  7. bercukur habis rambut tu selepas selesai saie.

13 larangan semasa ihram

  1. Pakai sarung tangan
  2. Pakai bau-bauan atau minyak wangi (di badan atau pakaian)
  3. Pakai minyak rambut, janggut atau semua bulu lain selain dari bulu di pipi dan dahi
  4. Cabut (tanggalkan) rambut atau apa-apa bulu lain di badan
  5. Kerat (atau potong) kuku
  6. Kerat, potong, cabut atau tebang pokok di Tanah Haram
  7. Buru (atau binasakan) binatang buruan (yang halal dimakan) di Tanah Haram
  8. Lakukan pendahuluan persetubuhan (bercumbu-cumbuan yang menaikkan nafsu syahwat)
  9. Jimak (bersetubuh)
  10. Berkahwin, mengahwinkan atau menerima wakil kahwin

    Tambahan untuk lelaki sahaja

  11. Pakai pakaian bersarung, berjahit atau bercantum
  12. Tutup kepala atau sebahagian darinya (seperti pakai topi)

    Tambahan untuk wanita sahaja

  13. Tutup muka (macam pakai purdah)

Apa jadi kalau melanggar larangan ihram ini?

Ada 3 keadaan hukum bagi mereka yang melanggar larangan dalam ihram ni:

  1. Berdosa dan wajib bayar dam jika melakukan dengan hajat dan tanpa uzur.

  2. Tidak berdosa tapi wajib bayar dam jika melakukan tanpa niat tetapi terpaksa.

  3. Tidak berdosa dan tidak perlu bayar dam jika melakukannya kerana uzur atau jahil (tidak tahu), terlupa, dipaksa atau dilakukan ketika tidur.

KLIA to Jeddah

Jemaah pergi sendiri ke KLIA airport. Kena check-in pukul 11.00 ptg. Kami naik ke tingkat lima (balai berlepas) dan tengok ada banyak jemaah lain dari pakej umrah yang lain. Kami dapat bezakan dengan bentuk dan warna beg masing-masing. Pakej Andalusia menggunakan beg warna biru dan kuning. Kami mencari-cari kumpulan yang bawa beg yang sama. Nampaklah satu dua family. Kami antara yang terawal sampai.

Kami main ikut-ikut sajalah dan tak tahu arah tuju. Lepas tu ada orang beritahu 'pergi check-in ke kaunter 12!' so kami pun pergilah bawa semua beg yang ada.

Kat situ aku jumpa mutawif kami, Ustaz Shauki, untuk kali pertama. Dia pasangkan tag pada semua beg. 'Beg kecil tu bawa sendiri dalam kapal terbang,' so aku bawak balik tiga beg troli kecil ke famili aku. Ingatkan boleh campak sekali dalam bagasi.

Dalam kapal terbang, keadaan jadi crowded. Aku punya agak, seluruh penumpang dalam kapal terbang itu ialah jemaah umrah, tapi dari beberapa pakej yang berbeza. Aku terdengar ada orang komplen yang dia 'dipisahkan' dengan pasangannya. 'Patut biarlah kita pilih sendiri,' kata dia. Aku buat hal aku sendiri.

Flight SV 2525 dari KL ke Jeddah. Saudi Airways. Pramugara dia nampak dewasa dan berumur. Tak muda macam pramugara MAS. Kulit putih dan tinggi-tinggi. Aku rasa ni bukan orang Arab ni. Rasanya depa ni orang Turki atau Tunisia.

Flight lambat berlepas, sebab pramugari dan pramugara sibuk check senarai passenger. Kurang sorang. Kelam kabut depa. Ada 6 ke 7 orang pramugara ke hulu-ke hilir. Lepas tu semua berkumpul macam buat meeting. Depa cakap Arab. Kami semua jadi penonton yang tak paham apa. Rupa-rupanya orang itu masuk toilet. "Khalash," kata salah seorang pramugara dan semua bergerak ke station masing-masing. Plane take-off jam 1.30 ptg. Setengah jam lambat.

Aku dapat seat tengah. Jadi tak dapat jenguk-jenguk kat tingkap. Tak apalah. Penerbangan kami sembilan jam. Lewat sedikit dari yang dinyatakan dalam jadual. Apasal pulak? Traffic jammed di atas awan? Makanan dihidangkan tiga kali. Aku belasah semua sampai licin. Aku sembahyang qasar dan jamak Zohor dan Asar sambil duduk. Kiblat? Takda masalah. Kapal terbang memang menuju ke arah kiblat pun lebih kurang. So aku solat mengadap depan sajalah.

Dalam surat kata perjalanan bermula pukul 1 petang dan sampai pukul 5 petang. Hanya empat jam perjalanan? Aku dengar perjalanan makan masa sembilan jam. Aku budget bila sampai Jeddah, mesti gelap. Rupa-rupanya masa kami sampai, Jeddah masih siang. Rupa-rupanya pukul 1 petang berlepas tu ialah waktu Malaysia, dan pukul 5 petang landing tu ialah waktu Jeddah. Jam tangan aku (waktu Malaysia) menunjukkan pukul 10.30 malam. Tapi jam di Arab lambat lima jam dari jam di Malaysia. Jadi walaupun jam aku pukul 10.30 malam, di Jeddah pada masa itu masih pukul 5.30 petang. Faham tak ni? Tak paham takpa.

Landing in Jeddah

Kami landing di Jeddah dan semua jemaah dibawa ke terminal haji. Proses imigresen (check pasport) berjalan lancar. Di terminal haji kami 'berkampung sekejap' dengan semua bagasi masing-masing. Masing-masing keletihan. Ada yang kelihatan kebingungan. Kami ambil peluang pergi tandas, dan sembahyang. Kami cuma tunggu arahan dri Mutawif. Selagi tak ada arahan, kami tunggu.

Kenapa dinamakan 'terminal haji'? Sebab jemaah haji akan menggunakan terminal tu. Kami bukan jemaah haji so sepatutnya kami tak gunakan terminal tu. Tapi sebab arahan dari kerajaan Arab Saudi, maka kami terpaksa pergi ke terminal haji. Mutawif kami kata 'leceh sikit terminal haji ni..' Aku rasa mungkin sebab jauh kena berjalan.

Ada pekerja lapangan terbang (mereka pakai uniform) yang berebut-rebut tolong tolak troli kami. Baik sungguh depa ni. Sungguh prihatin dan berjiwa penyanyang. Bila sampai ke tempat 'berkampung' kami tadi tu, mereka sebut 'hadiah.. hadiah'. Rupa-rupanya mereka mintak upah. Kalau tak bayar, mereka tak berganjak. Tawar menawar pun tak boleh. Aku terpaksa berpisah dengan 30 riyal aku. Itulah perbelanjaan aku yang pertama di bumi Arab. Belum apa-apa lagi aku dah kena paw. Cis.

Ramai juga yang berpakaian seragam (macam-macam warna) ke hulu ke hilir jumpa semua orang dan jual sim card prepaid. Aku beli satu. Starter pack Frendi. 50 riyal je. Aku suruh orang tu masukkan sim kad tu dan setup sekali. Dah berjaya baru aku bayar. Orang tu tau cakap Melayu. Dia orang Nepal, tapi pernah kerja di Ipoh selama tiga tahuh. Hebat.

Lepas tu Mutawif kami suruh kami bergerak untuk naik bas. Semua bergerak dengan bagasi masing-masing. Punyalah jauh. Lebih setengah km rasanya. Tapi memang banyak bas. Semua bas untuk ambil jemaah umrah. Kami naik bas no. 2. Dan kebetulan bas tu parking jauh sangat. Rasa macam kembara naik gunung pun ada.

Bas-bas menunggu jemaah. Ada berpuluh-puluh bas. Memang tak sangka punyalah jauh bas ni dari tempat kami landing tadi.

Jeddah to Madinah

Dalam bas, mutawif kutip semua passport kami. Bas yang kami naiki bergerak ke Madinah. Hari dah malam. Jadi tak nampak apa-apa pemandangan pun. Hanya nampak lampu kereta je bergerak laju. Masing-masing penat. Dalam bas, Mutawif kami Shauqi gunakan microfon untuk berucap, ucap selamat datang, baca doa perjalanan, dan dia cerita sedikit tentang itu dan ini pasal Madinah. Aku dah tak berapa ingat sebab masa tu otak aku dah lesu dan tak berapa boleh fokus. Aku letih tapi rasa excited. Perasan ingin tahu, gembira, aneh, keliru, bercampur-campur. Rasa tak sabar nak pijak bumi Madinah al-Munawarrah.

Kami singgah makan dua jam kemudian di sebuah tempat yang aku tak ingat apa nama dia. Mutawif ada sebut, tapi aku lupa. Yang aku ingat, ada orang Arab jual madu dalam tupperware di belakang van dia. Masa tu aku tertanya-tanya pada diri sendiri, inikah tanah Madinah yang aku pijak ini. Benarkah aku dan sampai ke bumi Madinah. Aku rasa macam tak percaya.


Macam R&R. Tak ingat apa nama tempat ni.

Kami singgah sembahyang di situ. Masjid ke surau ke aku tak sure. Tapi kecil saja. Lepas tu kami diberi makanan dalam pek. Lebih kurang sama bentuk dia macam pek makanan dalam kapal terbang. Rupa sama, tapi isi dalam tak sama. Cover pek tu ada tertulis 'Mr Sate'. Indon mari. Huh. Patutlah dalam pek tu ada tempe. Aku tak berapa selera makan sebab letih.


Mr Sate. Makanan pertamaku di bumi Arab. Ada tempe.

Lepas tu kami naik bas semula untuk sambung perjalanan. Perjalanan kami dalam bas termasuk masa rehat tadi tu memakan masa enam jam. Ya tuan-tuan dan puan-puan. Enam jam lamanya. Masa dah nak masuk kota Madinah, Mutawif Shauqi dengan microfon dia ceritalah serba sedikit tentang bangunan yang kami lalui, termasuk Masjid Saidatina Aishah. Masa sampai ke hotel, jam Jeddah menunjukkan pukul 7.30 malam. Tapi jam tangan aku (waktu Malaysia) menunjukkan pukul 12.30 pagi. Sudah midnite rupanya. Aku belum betulkan lagi jam aku. Jadi jam aku tu menunjukkan waktu Malaysia (lima jam cepat dari waktu Arab).

Sampai di hotel kami di Madinah, kami punggah barang masing-masing. Oleh sebab aku datang dengan mak dan isteri aku, maka aku sorang ler yang jadi bangla punggah semua bagasi - tiga bagasi besar dan tiga bagasi kecil. Kami disuruh lepak dulu di lobi. Seorang mutawif muda dengan slang Indon dia ucap selamat datang pada kami semua dan dia beri taklimat sikit. Aku dah tak berapa ingat apa yang dia sebut, kecuali bila dia kata "subuh di sini tak macam di Malaysia, sini Subuh pukul 4 pagi." Apa? Empat pagi.

Lepas tu kunci bilik diberi seorang demi seorang. Aku beri kunci bilik pada wife aku untuk dia bawa emak aku naik, sementara aku sambung jadi bangla untuk punggah-memunggah bagasi kami.

Masa aku sampai di bilik untuk kali pertama, aku tengok mak aku dah lepak, wife aku pulak sibuk kemas-kemas dan atur barang dan pakaian. Kami sembang-sembang. Mak aku dah terlelap. Aku mandi sebab aku rasa badan aku belengas dan tak selesa. Lepas tu aku pakai kain dah jubah dan rehat-rehat di katil dan tunggu waktu Subuh. Rasanya kalau aku tudur ni memang tak bangun nanti. Kejap aje lagi masuk waktu. Jadi maknanya pada hari itu, 31 Mei 2012, aku tak tido selama.. berapa lama, ya? Aku bangun Subuh hari Khamis di Malaysia, pada hari Jumaat malam tu baru aku tidur. Tapi tak rasa pun yang aku tak tidur, sebab aku rasa teruja untuk pergi sembahyang di Masjid Nabawi untuk kali pertama dalam hidupku. Letih sangat, tapi teruja sangat. Rasa macam nak pergi camping. Entah, macam-macam aku rasa.

Madinah al-Munawarrah

Madinah (Madinatul Munawarrah atau Kota Bercahaya) ialah kota suci kedua dalam Islam (selepas kota Makkah). Di sinilah tempat Nabi Muhmammad s'a.w. dikebumikan. Di sini jugalah tempat bersemadi Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Saidina Umar al-Khattab, dan Saidina Uthman bin Affan. Nama lama Madinah ialah Yastrib. Selepas Nabi Muhammad s'a.w. berhijrah pada tahun 622 Masihi, nama Yastrib ditukarkan menjadi Madinah.

Masa Nabi Muhammad s'a.w sampai di Madinah, umur baginda ialah 50 tahun. Nabi Muhammad berdakwah selama 10 tahun di Makkah sebelum berhijrah ke Madinah. Masa berhijrah tu, isteri baginda iaitu Khadijah dah meninggal dunia. Bapa saudara Nabi yang membela Nabi iaitu Abu Talib pun dah meninggal dunia. Nabi Muhammad s'a.w berjuang lagi selama 13 tahun di Madinah sebelum balik semula ke Makkah dan menawan kota tersebut.

Foto atas tu ialah kawasan yang aku lalu setiap kali aku pi solat di Masjid Nabawi dari hotel. Macam kawasan dataran. Foto bawah: Kadang-kadang aku lalu sini masa balik dari Masjid Nabawi. Ada jual macam-macam. Ada pengurup wang, ada kedai jual abaya, dan macam-macam lagilah.

Supermarket Bin Dawood. Signage kat atas tapi kedai dia kena turun ke basement. Macam pasaraya Giant, malah lebih luas lagi. Aku singgah sini untuk beli pisau (nak potong buah), kole nak buat air, gula, teh. Macam-macam ada.

Madinah ada tiga masjid tertua dalam sejarah Islam iaitu Masjid Nabawi, Masjid Qiblatain, dan Masjid Quba. Masjid Quba ialah masjid yang pertama dalam sejarah Islam. Masjid ni dibina oleh Nabi Muhammad s'a.w. semasa baginda mula-mula masuk ke Madinah selepas melarikan diri dari Makkah. Masjid Qiblatain ialah masjid di mana Nabi Muhammad s'a.w menerima wahyu untuk bertukar arah kiblat dari Masjidil Aqsa ke Makkah.

Mayor (datuk bandar) Madinah ialah Abdulaziz bin Majid. Keluasan Madinah ialah 589 km persegi dan puncak paling tinggi ialah 608 meter. Ada sejuta lebih penduduk Madinah. Sama seperti Makkah, orang bukan Islam tidak dibenarkan masuk ke Madinah. Jadi penduduk Madinah adalah 100% orang Islam.

Masa kami sampai (bulan Jun), Madinah mengalami musim panas. Suhu di siang hari mencecah 41 darjah dan waktu malam turun serendah 28 darjah. Pada waktu malam masa kami jalan-jalan di Madinah, bahang panas naik dari bawah. Rasa macam dalam oven. Panas. Mula-mula aku ingat aku sorang je rasa macam tu sebab mungkin aku banyak dosa. Rupa-rupanya memang macam tu panas dia.

Tanah di Madinah lebih berbahang dari Makkah. Tapi cuaca di Makkah lebih panas. Itu apa yang aku sendiri rasalah. Kawasan Madinah ni rata sahaja, tak macam Makkah yang berada di lembah, jadi masa keluar dari Makkah, jalan raya dalam keadaan memanjat bukit.

Aku tak sempat explore Madinah sepanjang empat aku aku di sana. Mula pijak bumi Madinah malam hari Khamis, lepas tu Jumaat, Sabtu hari bebas, Ahad ada program lawatan, dan pada hari Isnin mula bergerak ke Makkah.

Apa yang sempat aku tengok di Madinah ialah bangunan-bangunan hotel, pejabat, kedai-kedai dan masjid. Itu aje yang aku nampak.

Bila time azan, kedai-kedai ditutup dan orang pergi sembahyang di masjid. Semua penduduk Madinah adalah orang Islam. Pemintak sedekah pun orang Islam. Ramai peniaga jalanan yang berniaga dengan kereta tolak masing-masing. Majoritinya perempuan. Semua perempuan yang menjual tu pakai jubah hitam dan pakai purdah, dan pakai spec mata hitam. Tapi kat lengan masing-masing penuh gelang pelbagai jenis. Aku terdengar orang sembang-sembang, yang mereka ni memang diwajibkan pakai purdah. Aku pasti penjual-penjual yang perempuan ni bukan orang Arab. Setahu aku, orang Arab ni tak bagi perempuan kerja. Jadi yang kerja tu aku pasti bukan orang Arab.